15 pemain import bukan masalah – Wan Zack

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pemain sayap baharu Penang FC, Wan Zack Haikal Wan Noor percaya kualiti pemain tempatan boleh berada setaraf dengan bintang import sekiranya mampu mengubah mentaliti mereka ke tahap lebih tinggi.

-Advertisement-

Perkara itu yang menjadi pegangan Wan Zack untuk tidak menganggap kehadiran pemain import yang ramai dalam Liga Malaysia (Liga M) bakal memberi impak kepada peluang pemain tempatan untuk menyerlah.

Dia yang pernah berkelana ke kelab divisyen tiga Jepun, Ryukyu FC pada 2013 menyifatkan pengalaman di sana banyak mengajar dirinya untuk tidak berasa rendah diri, sebaliknya bekerja lebih keras untuk cuba berada setaraf dengan kualiti pemain asing.

Pemain berusia 34 tahun itu turut merasakan setiap pemain perlu menerima perubahan apatah lagi di era bola sepak masa kini apabila peraturan baharu Liga M yang membenarkan pendaftaran 15 pemain import bermula musim 2025-2026.

“Pendapat saya sebenarnya situasi ini (15 pemain import) tidak akan menjadi masalah sebab masing-masing perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat terutamanya pemain tempatan yang akan berdepan persaingan sihat dalam pasukan.

“Kalau kita tengok, kualiti pemain tempatan di Malaysia sebenarnya tidak ada beza jauh pun dengan pemain asing, tetapi kita selalu merasakan kita tidak setaraf dengan mereka disebabkan mentaliti diri sendiri.

-Advertisement-

“Bagi saya, kita kena ubah mentaliti ini, ubah cara hidup kita sebab hanya dengan kerja keras dapat memberikan hasil terbaik termasuklah untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan.

“Ketika saya ke Jepun sebelum ini, tidak dinafikan memang mencabar dalam dua minggu pertama, namun apabila sudah dapat rentak, saya tengok sendiri kita sebenarnya boleh berada di tahap yang sama dengan pemain asing lain,” katanya.

Wan Zack yang baru sahaja mengikat kontrak bersama Penang FC untuk musim depan juga bersedia untuk merebut tempat beraksi selain bersyukur kudratnya masih ditagih meskipun sudah berusia 34 tahun.

Dia berkata, cabaran untuk bersaing dengan pemain lain akan memberi peluang untuknya mempertingkatkan lagi kualiti bagi membantu Penang FC berada di kedudukan lebih baik musim depan.

“Alhamdulillah dengan umur saya ketika ini masih lagi ada kelab yang inginkan khidmat saya dan terima kasih kepada semua termasuk jurulatih, Wan Rohaimi (Wan Ismail) yang percayakan saya.

“Meskipun sedar saingan sengit di sini (Penang FC), saya tetap bersedia untuk membuktikan sesuatu untuk merebut tempat,” katanya.
-BeritaHarian