Spoter kini juga kumpulan penculik – ESSCOM

Estimate Reading Time: 2 minutes

LAHAD DATU, 24 Sept (Bernama) — Sebelum ini mereka adalah tali barut untuk kumpulan penculik, tetapi kini mereka turut terlibat dalam melakukan kegiatan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan di kawasan perairan timur Sabah.

-Advertisement-

Kegiatan tali barut, yang dikenali sebagai spoter itu di kesan sejak Jun lepas dan sehingga kini 11 spoter yang dikesan di Kunak, Lahad Datu dan Semporna ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

“Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) kini giat memburu saki baki tali barut (spoter) yang masih bebas dan melakukan kegiatan penculikan untuk wang tebusan,” kata Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali dalam temu bual bersama Bernama.

Kejadian tiga nelayan Indonesia yang dilapor diculik di perairan Tambisan, Tungku, semalam, juga disyaki dilakukan oleh spoter dan kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG).

“Kami sudah kenal pasti group KFR dari Tawi-Tawi, memang ada (penglibatan) spoter dalam kejadian itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, tiga nelayan iaitu Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, Samiun Maneu, 27, hilang dipercayai diculik sekumpulan lelaki bersenjata dan bertopeng di perairan Tambisan.

-Advertisement-

Kumpulan bersenjata itu yang menaiki dua pam bot dilapor melarikan diri ke perairan Tawi-Tawi.

Hazani berkata spoter yang sebelum ini sekadar pemberi maklumat kepada kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), kini turut bertindak sebagai penculik.

“Tali barut kepada KFRG ini adalah pendatang tanpa izin warga Filipina tetapi duduk di Sabah dan mahir selok belok perairan di ESSZone…spoter kemudian akan menyerahkan mangsa culik kepada KFRG di Tawi-Tawi Selatan Filipina,” katanya.

Hazani berkata terdapat empat kategori penculik di ESSZone iaitu Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dari Jolo, Selatan Filipina; ASG dan KFRG daripada Tawi-Tawi bersama masuk ESSZone dan menculik; KFRG Tawi-Tawi masuk ke ESSZone dengan bantuan spoter untuk menculik; dan Spoter yang menjadi penculik.

Beliau berkata dua lelaki Filipina yang merupakan tali barut kepada KFRG dari Sitangkai, Selatan Filipina ditembak mati oleh pasukan keselamatan Malaysia di perairan Felda Sahabat 2, Tungku dekat sini pada 3 Sept lalu.

“Mereka ini (suspek ditembak mati) turut berada di atas kapal ketika kejadian penculikan 18 Jun lalu di perairan Tambisan berhampiran Tawi-Tawi, Selatan Filipina, di mana 11 lelaki Suluk bercampur Pala’u daripada Semporna, diculik,” katanya.

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •