Ahli AMANAH diingat jangan amal sikap Pak Pandir

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ahli AMANAH diingatkan jangan mengambil pendirian seperti Pak Pandir dalam menangani isu banyak mesyuarat agung tahunan (AGM) kawasan parti itu dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

-Advertisement-

Presiden parti, Mohamad Sabu, berkata apa yang lebih penting ialah mereka mengambil iktibar dan berazam untuk memperbaiki keadaan, khususnya daripada aspek pentadbiran organisasi.

“Janganlah kita beralasan seperti Pak Pandir bahawa ‘bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang lain pun mati juga’ dengan mengatakan bukan AMANAH sahaja ditimpa kesilapan seperti ini (malah) ia pernah berlaku kepada parti-parti besar yang lain juga.

“Adalah lebih penting untuk kita mengambil iktibar dan berazam untuk memperbaiki keadaan ini khususnya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan organisasi supaya AMANAH terus menjadi sebuah parti yang kemas dan teratur dalam urusan organisasinya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, pembatalan AGM pernah menimpa UMNO sehingga ia diharamkan oleh mahkamah. DAP juga pernah mengalami nasib serupa pada 2013 iaitu 48 jam sebelum penamaan calon sehingga hampir menggunakan simbol PAS untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-13.

-Advertisement-

Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), juga pernah menghadapi masalah serupa sehingga hampir diharamkan oleh ROS menjelang PRU-14.

“Apa yang berlaku kepada parti lain tidak terkecuali menimpa kepada AMANAH. Ia boleh berlaku kepada mana-mana parti politik sama ada parti pemerintah ataupun parti pembangkang,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, pihaknya sedang giat memperbaiki kelemahan itu dan ketika ini sedang rancak berlangsungnya mesyuarat semula di semua peringkat yang berkaitan.

Beliau juga meminta ahli AMANAH supaya terus berusaha dan mematuhi arahan terbaru dikeluarkan pihak sekretariat supaya parti itu terus selamat.

Katanya, parti itu menerima penyertaan ahli baharu yang ramai sehingga banyak cawangan tumbuh di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya pada masa sama, pengurusan parti di semua peringkat perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. -Bharian

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •