Pembangkang sokong dasar yang baik untuk rakyat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pembangkang akan menyokong segala pelaksanaan dasar dan inisiatif yang baik oleh kerajaan asalkan ia membawa manfaat kepada rakyat.

-Advertisement-

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini dapat dilihat menerusi sokongan pembangkang kepada cadangan kerajaan untuk menurunkan had usia mengundi daripada 21 ke 18 tahun sebelum ini.

Katanya, langkah itu baik bagi menyuburkan demokrasi negara khususnya peluang untuk orang muda menunaikan tanggungjawabnya kepada negara.

“Sama ada kita sudah bersedia atau belum bukan soalnya. Kalau belum sedia, maka sediakanlah. Orang (negara) lain sudah laksana (undi) 18 tahun, jadi kita kena asuh anak Malaysia kesedaran membina negara bangsa.

“Kita kena ubah kurikulum (di sekolah). Kita nak menjurus supaya anak kita mempunyai kewajaran yang baik. Dia mahu undi siapa itu tidak kisah. Mereka kena didedahkan dan kerajaan perlu ambil inisiatif mewujudkan satu persekitaran terutama untuk (didik rakyat) jadi warga negara yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diundang sebagai panel pada forum anjuran persatuan pelajar di Universiti Malaysia (UM) di sini, malam ini.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, orang muda khususnya mahasiswa perlu memiliki kebijaksanaan dalam mentafsir sesuatu isu bagi mengelak mereka mudah terjerumus ke lembah fitnah dan pembohongan.

Beliau berkata, sikap gagal membuat pertimbangan yang baik menyebabkan seseorang itu mudah berfikiran negatif sekali gus bertindak mengikut emosinya.

“Jangan kita ikut sentimen, emosi akan menguasai kita. Kita ikut kewajaran. Kalau ikut sentimen apa beza kamu dengan mereka yang duduk di tepi jalanan.

“Di sini kita punya kebijaksanaan, dilatih untuk mendapat satu kewajaran yang penting. Bila kita ada kewajaran, kita tidak akan silap. Jadi jawapannya, cari dalam hidup ini kewajaran, …kita jangan jadi orang yang mengikut orang lain, tapi jadi diri sendiri,” katanya.

Menyentuh Muafakat Nasional UMNO dan PAS, Mohamad menafikan ia berpaksi kaum, sebaliknya menyifatkan ia satu strategi untuk menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya mengatakan UMNO perlu ada dua teras iaitu memperkasa parti dan untuk bangkit semula daripada kekalahan. UMNO mesti menyusun strategi ke PRU akan datang.

“Susun strategi kita tidak boleh ambil kira mengapa kalah, kita tahu kita kalah sebab orang Melayu berpecah belah, jadi banyak kerusi. Untuk menyusun strategi, kita kena melihat kelemahan kita, tidak boleh ke hadapan tanpa memperbaiki diri,” katanya. – Bharian

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •