SPR mesyuarat Selasa depan tentu tarikh PRK Tanjung Piai

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 23 Sept — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 1 Okt bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

-Advertisement-

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada Sabtu lepas.

Mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut, katanya.

-Advertisement-

Mohamed Elias berkata mengikut peruntukan undang-undang, SPR perlu mengadakan PRK bagi kerusi Parlimen tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung. Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi.

— BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •