Najib tiada halangan AS$750 juta dana 1MDB dipindah kepada PetroSaudi – Shahrol Azral

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: PetroSaudi International Ltd (PSI) menerusi wakilnya, Patrick Mahony memohon secara lisan melalui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk pengeluaran (drawdown) AS$750 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

-Advertisement-

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata pihaknya bagaimanapun melalui rundingan, memohon mengurangkan jumlah yang diminta PSI bagi tujuan suntikan dana tambahannya.

Dalam keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Shahrol Azral berkata, beliau juga meminta permohonan rasmi dibuat sebaik dimaklumkan oleh Jho Low mengenai permohonan pengeluaran dana daripada 1MDB itu.

Pada masa itu, katanya, beliau berpendapat 1MDB tidak sepatutnya memberi lebih banyak pinjaman kepada PSI.

“Saya ‘pushback’ (tarik tali) dengan Jho Low ketika itu kerana bagi saya wang 1MDB sewajarnya digunakan untuk projek tempatan.

“Saya minta Jho Low membuat rundingan dan perbincangan dengan Datuk Seri Najib Razak dan PSI untuk mengurangkan jumlah pinjaman yang perlu diberi kepada PSI.

-Advertisement-

“Saya tidak terbabit langsung dalam sebarang perbincangan mengenai pinjaman AS$750 juta itu. Saya juga tidak tahu butiran rundingan seperti siapa dan di mana, yang akhirnya telah mengurangkan jumlah pinjaman kepada AS$330 juta,” katanya.

Beliau berkata, tanpa pengetahuannya, Tarek Obaid menulis surat kepada Najib pada 18 Februari 2011 berhubung permintaan tambahan pinjaman AS$750 terbabit.

Surat itu, katanya, dilampirkan bersama surat dari Putera Turki kepada Najib pada tarikh yang sama.

Shahrol Azral berkatan, surat terbabit hanya dipanjangkan kepada Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin pada 11 Mac 2011 dengan nota bertulis daripada Najib.

“Nota bertulis daripada Najib menyatakan beliau tiada halangan untuk penambahan pelaburan ini,” katanya.

Saksi kesembilan pendakwaan itu juga mengesahkan tulisan tangan Najib kepada Che Lodin, iaitu ‘Tan Sri Lodin, saya tiada halangan dengan cadangan ini. Sila ambil tindakan’. -Bharian

Share this Article
  • 7
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    7
    Shares