Khalid: Menara 90 tingkat di Kg Baru belum muktamad

Estimate Reading Time: < 1 minute

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menjelaskan pelan pembinaan menara lebih 90 tingkat di Kampung Baru yang dicadangkan kerajaan masih dalam proses perbincangan.

-Advertisement-

Menurutnya, pelan berkenaan masih lagi di peringkat rancangan arkitek dan pembinaan menara sekiranya menjadi kenyataan, hanya akan dibina pihak swasta dan bukan kerajaan.

“(Pembinaan menara) itu pun cadangan, hanya idea arkitek yang kata kita kena ada menara ikonik. Kalau hendak bina pun bukan dibina oleh kerajaan.

“Bangunan komersial akan dibina oleh syarikat, contohnya macam Petronas, CIMB atau Felda untuk buat menara,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight hari ini.

Tambahnya, konsep berkenaan juga masih di dalam proses perbincangan dan mengambil tempoh masa lama jika mahu dilaksanakan.

“Pembangunan bukan akan berlaku serta-merta, ia berlaku dalam tempoh 10 hingga 20 tahun perancangan. KLCC pun bukan dibina dalam tempoh lima ke enam tahun.

-Advertisement-

“Sekarang pun KLCC ada fasa belum habis dibina, pembinaan akan makan masa. Kalau pasaran tiada permintaan takkan dibina lagi,” katanya.

Terdahulu, portal Mstar melaporkan Khalid memberitahu salah satu pelan pembangunan Kampung Baru adalah dengan mempunyai menara mercu tanda.

Tambahnya, beliau mencadangkan bangunan 93 tingkat dengan reka bentuk diadaptasi daripada lipatan serta sudut geometri samping dan tengkolok tradisi Melayu.

Jelas Khalid yang juga merupakan ahli Parlimen Shah Alam, keutamaannya adalah untuk mendapatkan tanah tersebut, yang kini masih berdepan tentangan pemilik.

“Butiran pembangunan kita akan dapatkan persetujuan penduduk dahulu, bila semua dah setuju baru kita mulakan proses jual beli, kita kena muktamadkan juga.

“Apabila sudah muktamad baru kita buat lebih terperinci. Ini baru permulaan,” katanya dan memberi jaminan keutamaan akan diberikan kepada pembinaan kawasan kediaman yang akan dijalankan dalam tempoh 10 tahun. – Malaysiakini

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share