Tingkatkan asas cukai untuk perkukuh paras fiskal : pakar cukai

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR- Dalam suasana ekonomi serba mencabar pada hari ini kerajaan perlu menambah baik asas cukainya bagi mengukuhkan paras fiskal negara.

-Advertisement-

Ini kerana, sistem cukai sekarang; Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanya diunjur memungut sebanyak RM22 bilion tahun ini, yang menyebabkan penyusutan hasil kerana sistem cukai sebelumnya – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjaya mengutip RM44 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pengumumannya baru-baru ini berkata bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan sebarang cukai baharu dalam Belanjawan 2020.

Bagaimanapun, beberapa langkah dijangka diambil berikutan keadaan persekitaran ekonomi global yang lemah ketika ini.

Seorang pakar cukai berkata memandangkan harga minyak mentah ketika ini berlegar sekitar US$55 hingga US$65 setong, Belanjawan 2020 perlu dirangka pada jajaran itu bagi mengelakkan pergantungan berlebihan kepada rizab Petronas.

Sejak tahun lepas, penanda aras minyak mentah Brent melonjak ke paras US$84 setong sebelum menyusut ke paras US$53 setong pada Januari lepas dan kekal terapung antara paras US$55 dan US$75 sehingga hari ini.

Presiden Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) Dr Veerinderjeet Singh berkata ketika ini SST hanya meliputi 38 peratus daripada indeks harga pengguna kumpulan barangan berbanding 60 peratus dengan GST.

Melebarkan asas cukai

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi sekarang, kerajaan perlu menimbang melebarkan asas cukai terutamanya cukai pendapatan.

“Ketika ini, hanya dua juta tenaga kerja menyumbang kepada cukai pendapatan. Selain tenaga kerja, terdapat juga orang yang mempunyai paras pendapatan tinggi yang tidak membayar cukai pendapatan mereka. Ini kerana paras gaji kita ketika ini adalah rendah ditambah dengan pelbagai insentif cukai yang menyebabkan ramai dikecualikan daripada membayar cukai,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dengan kemajuan teknologi, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bank perdagangan serta bank pusat perlu ada satu sistem saling bersambung untuk mengelakkan pengelakan cukai.

“Ketika ini, kita bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan LHDN. Dengan teknologi, sukar bagi pengelak cukai untuk mengelakkan diri, dengan itu akan dapat membawakan mereka yang berkenaan untuk membayar cukai,” katanya.

Veerinderjeet juga berkata kerajaan juga boleh memanfaatkan ‘shadow economy’ (ekonomi bayangan) kerana menurut kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia, ekonomi bayangan membentuk kira-kira 30 peratus daripada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Saranan untuk kembali kepada GST

Daripada perspektif ekonomi dan dasar cukai, terdapat juga sokongan untuk kembali semula kepada sistem cukai GST berikutan ketelusan dan keupayaannya untuk mengutip hasil lebih tinggi.

Veerinderjeet berkata apa yang menjadikan GST lebih jelas adalah input dan output cukai, yang sukar untuk dimanipulasikan.

Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini, tidak ada keperluan untuk kembali semula kepada sistem cukai lama itu tetapi perlu memastikan sistem cukai yang ada sekarang boleh berfungsi pada kadar yang lebih tinggi.

-Advertisement-

Sementara itu, Ketua Deloitte Global Indirect Tax Clients & Industries Senthuran Elalingam berkata pengenalan semua GST adalah popular kerana ia menyediakan asas cukai lebih meluas dan merupakan kaedah kutipan yang lebih cekap.

“Kerajaan mengakui bahawa GST adalah sistem yang lebih cekap daripada rejim SST sekarang. Namun, persoalannya adalah pada bila ia perlu dilaksanakan dan kewajarannya bagi ekonomi Malaysia dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata percubaan pertama untuk memperkenalkan GST tidak berjaya kerana ramai yang kurang memahami bagaimana ia berfungsi dan manfaatnya, ditambah dengan ketidakcekapan kritikal seperti pembayaran bayaran balik GST yang lewat.

“Jika Malaysia memperkenalkan semula GST pada satu ketika nanti, kita perlu mempelajari kesilapan-kesilapan yang berlaku pada kali pertama dan menyediakan langkah-langkah untuk menanganinya bagi memastikan GST 2.0 berjaya,” katanya.

Pelaksanaan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital

Sementara itu, kerajaan mengumumkan ia akan melaksanakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital sebanyak enam peratus bermula 1 Januari, 2020.

Bagaimanapun sehingga setakat ini, garis panduan baginya belum lagi diumumkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Dalam bentuk pelaksanaan, Senthuran berkata memandangkan tempoh masa yang terhad, banyak perniagaan mungkin tidak dapat bersedia sepenuhnya pada masa cukai itu dikuatkuasakan.

“Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil pendekatan lebih santai dalam penguatkuasaan – terutamanya dalam mengenakan penalti semasa tempoh peralihan ini,” katanya.

Beliau berkata daripada sudut pandangan pengguna pula, kesan utama adalah harga kerana harga pembelian perkhidmatan digital ini daripada penyedia perkhidmatan asing dijangka meningkat sebanyak enam peratus bermula 1 Jan.

Bagaimanapun, pembelian daripada penyedia perkhidmatan tempatan tidak akan ada sebarang perubahan kerana perkhidmatan ini telahpun tertakluk kepada enam peratus SST.

Senthuran menekankan bahawa pelaksanaan peraturan cukai tidak langsung bagi mengenakan cukai terhadap penyedia perkhidmatan digital asing bukan suatu yang baharu dan merupakan trend global.

“Singapura juga akan menguatkuasakannya dengan versi peraturannya sendiri pada 1 Jan, dan kebanyakan syarikat teknologi besar telahpun menyedari akan keperluan ini.

Menaikkan ‘Cukai Dosa’ (Sin Tax)

Mengenai ‘Cukai Dosa’ (yang termasuk rokok, arak dan judi), Veerinderjeet berkata industri itu sendiri telahpun dikenakan cukai yang tinggi dan sebarang cukai tambahan hanya akan lebih menyukarkannya lagi pada masa depan.

‘Cukai dosa’ adalah cukai yang sering disasarkan setiap kali belanjawan kerana ia dianggap sebagai cara yang mudah untuk mendapatkan hasil tambahan bagi negara.

“Saya tidak melihat kerajaan akan menaikkan ‘cukai dosa’ kali ini kerana dalam belanjawan sebelum ini, ia telah menaikkan duti kasino kepada 35 peratus dan bagi pendapatan perjudian kasar dan duti mesin perjudian dan kepada 30 peratus bagi kutipan kasar,” katanya.

Di bawah SST, alkohol ketika ini dikenakan cukai 10 peratus berbanding hanya enam peratus semasa GST.-Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share