Jenayah hidupan liar zalim, tiada perikemanusiaan – KATS

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) akan membantu pihak berkuasa menyiasat dan menjejak penjenayah yang terbabit dalam pembunuhan seekor Gajah Pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, Sabah pada 26 September lalu.

-Advertisement-

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan pembunuhan itu sebagai jenayah hidupan liar yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“KATS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam menjalankan siasatan dan menjejak penjenayah hidupan liar itu.

“Ini kerana kes ini membabitkan senjata api dan ia jenayah serius,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan pihak PDRM akan diperkukuhkan lagi pada masa akan datang dengan mencontohi model Operasi Bersepadu Khazanah antara PDRM dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Ia bagi membanteras jenayah ini daripada berulang pada masa depan,” katanya.

-Advertisement-

Gajah Pygmy adalah spesies yang dilindungi di bawah Jadual 1 “Spesies Dilindungi Sepenuhnya”, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan mereka yang terbabit boleh dakwa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung dan menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, gajah jantan yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan ketinggian 2.79 meter itu ditemui mati dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai.

Hasil pemeriksaan awal Jabatan Hidupan Liar Sabah mendapati ada kesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan akibat tembakan senjata api serta gadingnya telah dipotong oleh pemburu.

Keputusan bedah siasat yang dijalankan menunjukkan gajah itu mati akibat ditembak dengan lebih kurang 70 kesan peluru.

Gajah itu dipercayai menderita kesakitan akibat tembakan sehingga mengakibatkan kematian.-BHarian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share