Melaka sasar pembangunan 30 peratus dalam lima tahun

Estimate Reading Time: 2 minutes

MELAKA- Kerajaan negeri Melaka sedang merancang pelbagai program dan projek pembangunan bagi memastikan pembangunan negeri ini dapat mencapai kadar 30 peratus dalam tempoh lima tahun bermula Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri ini.

-Advertisement-

Ketua Menteri Adly Zahari berkata pada masa ini pembangunan negeri adalah pada 18 peratus dan sasaran 30 peratus itu penting bagi memastikan Melaka kekal mampan dalam aspek pembangunan bagi tempoh masa yang panjang selain meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri.

Beliau berkata peningkatan kadar pembangunan negeri itu juga secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan perbelanjaan pembangunan dari tahun ke tahun.

“Kalau kita lihat antara perkara penting dalam bajet kerajaan negeri setiap tahun ialah penyediaan bajet pembangunan dan pada tahun ini kita telah menyediakan kira-kira 17 peratus atau RM70 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan bajet negeri.

“Berdasarkan rekod terkini, Melaka mempunyai lebihan pendapatan sekitar RM30 juta sehingga September ini iaitu lima peratus di hadapan apa yang telah kita bajetkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia Cawagan Melaka Kali Ketujuh di sini, malam tadi.

-Advertisement-

Adly berkata pencapaian semasa itu menunjukkan Melaka dijangka mempunyai kemampuan pendapatan yang baik pada tahun depan dan berkemungkinan bajet pembangunan negeri itu akan ditingkatkan.

Dalam pada itu, beliau berkata isu gangguan bekalan air di Melaka dijangka dapat dielakkan pada masa depan sekiranya pelan jangka sederhana dan panjang pembangunan infrastruktur dan aset air di negeri ini dilaksanakan secara efektif serta konsisten.

“Pelan pembangunan air bergantung pada pembangunan negeri dan pelaksanaan pelan tersebut perlu seimbang dengan keperluan negeri khasnya sektor pelancongan yang mana Melaka sentiasa menerima kedatangan pelancongan yang ramai,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan pelan tersebut memerlukan sejumlah peruntukan yang besar yang akan diperoleh melalui kerajaan negeri dan persekutuan.

Katanya antara projek yang akan dilaksanakan dalam pelan jangka pendek ialah penambahbaikan di Empangan Durian Jus dan menghubungkan Empangan Durian Tunggal dengan Tasik Biru di Chinchin, Jasin manakala pembinaan Empangan Sungai Jernih di Alor Gajah diharap dapat dimulakan pada tahun depan.- Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share