TTAM persoal campur tangan MSN dalam persiapan ke Sukan SEA

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR- Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) hari ini mempersoalkan campur tangan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam persiapannya menghadapi Sukan SEA Filipina November ini, yang menyaksikan dua pemain ping pong dari Program Podiumnya digugurkan daripada skuad kebangsaan.

-Advertisement-

Naib Presidennya Dr Chin Kuen Ling berkata punca asalnya bermula apabila MSN mahukan bekas jurulatih Beh Lee Wei menguruskan program latihan bagi Ho Ying serta Karen Lyne, dan meminta mereka supaya menandatangani surat penerimaan dengan MSN.

Beliau mendakwa MSN mengambil tindakan yang belum pernah dilakukan sebelum ini dalam sejarah sukan Malaysia, kerana merasakan pelantikan jurulatih adalah hak MSN.

“Sepanjang pengetahuan kami MSN tidak pernah ada program latihan, dan kami adalah pihak yang mempunyai program latihan khusus buat para pemain. Kami merasakan MSN tidak seharusnya terlibat dalam pelantikan jurulatih dan program persatuan-persatuan sukan.

“Tindakan MSN meminta para pemain memilih jurulatih tidak pernah samasekali berlaku dalam sejarah sukan negara, ia tidak pernah dilakukan,” katanya kepada pemberita dalam persidangan media di pejabat TTAM di bukit Jalil di sini hari ini.

-Advertisement-

Chin berkata perkembangan itu menjadikan TTAM tidak punyai pilihan, selain menggugurkan kedua-dua pemain yang disenaraikan sebagai pemain kategori A, bagi mengelak daripada dipersalahkan berhubung prestasi mereka di temasya sukan itu nanti.

“Apabila pemain tidak dilatih di bawah program kami, sebagai persatuan sukan, bagaimana kami boleh bertanggungjawab terhadap prestasi mereka di Sukan SEA.

“Apabila tarikh kejohanan semakin hampir, kami perlu menghantar senarai nama pemain untuk skuad kebangsaan. Jadi kami tidak ada pilihan selain menggantikan pemain yang memilih untuk tidak mengikuti program latihan kami, kerana akhirnya mereka yang memilih untuk berada di bawah program kami sahaja yang boleh dipertanggungjawabkan,” tambahnya.

Ho Ying dan Karen Lyne yang merangkul pingat gangsa dalam acara berpasangan wanita di Sukan Komanwel 2018, akan digantikan oleh Im Li Ying dan Lee Xin Nim.

Walaupun berhadapan dengan kemelut ini, Chin percaya sasaran untuk memenangi pingat gangsa masih boleh dicapai.

TTAM akan menghantar lapan pemain ping pong ke Filipina yang terdiri daripada Muhammad Ashraf Haiqal Muhammad Rizal, Wong Qi Shen, Choong Javen and Amos Ling Yi Heng, manakala pemain wanita terdiri daripada Alice Chang Li Sian, Tee Ai Xin, Im Li Ying and Lee Xin Ni.- Bernama

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share