Rakaman video tidak bantu tentukan status gol Khyril – Md Dali

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA- Video rakaman jaringan kedua Selangor ketika menentang Perak pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia 2019 tidak cukup untuk membantu Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menentukan status gol kontroversi tersebut.

-Advertisement-

Itu kesimpulan dibuat pengerusi jawatankuasa tersebut, Md Dali Wahid selepas mengadakan penelitian dan perbincangan bersama sekretariat pengadil mengenai jaringan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-45 itu yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat skuad The Bos Gaurus.

Bagaimanapun, Md Dali memaklumkan tindakan akan diambil terhadap penolong pengadil, Azman Ismail selepas mendapati terdapat kecuaian terhadap tindakannya yang dilihat mempengaruhi keputusan pada ketika itu.

-Advertisement-

“Jawatankuasa telah meneliti dan menilai video insiden yang berlaku pada minit ke-45 dan secara jujur video tersebut tidak membantu kami membuat keputusan terhadap status gol itu. Berdasarkan video itu kami tidak boleh katakan gol tersebut ofsaid atau pun tidak.

“Realitinya, terdapat kecuaian dilakukan penolong pengadil (Azman). Beliau didapati teragak-agak membuat keputusan dan paling jelas kedudukannya tidak selari dengan dua pemain Selangor dan ia amat ketara,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Ekoran kecuaian itu, Md Dali berkata Azman kemungkinan berdepan hukuman penggantungan manakala pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri hanya diberikan amaran.

Pada perlawanan di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, dua gol daripada Mohd Khyril membantu skuad The Red Giants mencatat kemenangan 3-1 sekali gus mara ke pusingan separuh akhir dengan kemenangan agregat 3-2 menyingkirkan Perak selaku penyandang juara.- BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share