50 peratus atlet sudah dapat suntikan vaksin sebelum ke Sukan SEA Filipina – ISN

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA- Hampir 50 peratus atlet kebangsaan yang akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA Filipina 2019 telah mendapat suntikan vaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan penuh di Institut Sukan Negara (ISN).

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata pihaknya akan memastikan semua atlet kebangsaan selesai menjalani dua perkara itu sebelum ke temasya berkenaan yang berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

“Semasa mesyuarat pengurus pasukan bersama CDM (ketua kontinjen) tempoh hari, kita telah buat penyelarasan bersama persatuan sukan untuk pastikan penjadualan atlet untuk diberikan suntikan vaksin dan pemeriksaan kesihatan dibuat dengan rapi dan teliti.

-Advertisement-

Kita akan pastikan sekurang-kurangnya sebulan atau sebelum ke Sukan SEA, kita telah selesaikan semuanya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kerjasama antara Institut Sukan Negara (ISN) dan LPM Support Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, ketua kontinjen negara ke temasya dwitahunan itu Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata semua atlet kebangsaan diwajibkan mengambil suntikan bagi mengelak dijangkiti wabak penyakit yang melanda beberapa venue utama temasya sukan itu.

Saranan pengambilan vaksin itu dikeluarkan Kedutaan Malaysia di Filipina dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika lawatan wakil Majlis Sukan Negara (MSN) diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, ISN dan Majlis Olimpik Malaysia ke semua venue pertandingan bulan lepas.

Menurut Pengarah Perubatan ISN, Dr Arshad Puji, pihak kedutaan memaklumkan antara penyakit yang sedang melanda beberapa kawasan di Filipina adalah wabak demam campak.– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share