Empat maut, dua hilang taufan Mitag badai Korea Selatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEOUL- Empat orang terbunuh manakala dua lagi hilang apabila taufan Mitag membadai wilayah selatan dan timur Korea Selatan, memetik pihak berkuasa pada Khamis lapor agensi berita Yonhap.

-Advertisement-

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA), taufan ke-18 musim ini itu, mendarat di pantai wilayah barat Haenam pada Rabu malam, sebelum bergerak menuju ke Laut Timur pada Khamis pagi.

Taufan dengan skala sederhana itu adalah yang ketujuh memberi kesan kepada Semenanjung Korea tahun ini, mencetuskan hujan lebat dan angin kencang.

Di Uljin, wilayah Utara Gyeongsang, curahan hujan mencapai 104.5 milimeter sejam, tertinggi sejak pihak berkuasa mengumpul data pada 1971.

Kota Donghae, wilayah Gangwon pula menerima curahan hujan sebanyak 67.4 milimeter sejam, angka tertinggi sejak 1992.

-Advertisement-

“Walaupun taufan mula bergerak ke Laut Timur, hujan lebat dijangka berterusan sehingga lewat hari ini di kawasan pesisiran pantai timur di wilayah Gangwon, serta di pulau Dokdo dan pulau Ulleung,” kata KMA.

Awal Khamis, seorang wanita berusia 70-an meninggal dunia setelah dihanyutkan arus deras dalam kejadian di tenggara bandar Pohang.

Di Samcheok, wilayah Gangwon, hujan lebat menyebabkan tanah runtuh menyebabkan seorang wanita yang sedang tidur maut akibat dihempap dinding runtuh. Nahas sama berlaku di tenggara daerah Yeongdeok, mengakibatkan seorang maut, menurut pihak berkuasa bencana.

Satu lagi kematian turut dilaporkan pada Rabu di sebuah kampung pertanian di Seongju, wilayah Utara Gyeongsang membabitkan seorang lelaki berusia 76 tahun.

Lebih 1,500 orang di selatan pulau Jeju dan kawasan tenggara lain dipindahkan ke tempat perlindungan.– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share