Industri penterjemahan dan interpretasi: Di mana kedudukan Malaysia?

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR- Dunia, terutamanya golongan penterjemah dan jurubahasa, menyambut Hari Penterjemahan Antarabangsa pada 30 Sept setiap tahun.

-Advertisement-

Di mana kedudukan Malaysia dalam industri ini Persoalan inilah yang bermain dalam fikiran kalangan pemain industri.

Pengerusi Program Pengajian Terjemahan dan Interpretasi Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Leelany Ayob berkata Malaysia adalah sebuah negara dwibahasa kerana komposisi rakyatnya yang berbilang kaum, bahasa dan budaya.

“Suka atau tidak, tidak ramai rakyat Malaysia yang benar-benar berdwibahasa. Dengan latar belakang yang berwarna-warni menjadikan kebanyakan mereka mencampur aduk pelbagai bahasa. Kita sangat pandai mencampur perkataan daripada bahasa pelbagai kumpulan etnik dan itulah yang menjadikan kita rakyat Malaysia.

“Kita juga keliru kerana kita memperjuangkan bahasa kebangsaan, (tetapi), kita juga merasakan dengan menggunakan bahasa Inggeris dapat menunjukkan martabat seseorang,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Hari Penterjemahan Antarabangsa yang disambut Isnin lepas.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam ucapannya pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2018 berkata, bahasa Melayu diharap dapat menjadi satu daripada bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia sememangnya satu harapan yang besar dan tugas berat buat Malaysia, tetapi Leelany berkata ia perkara yang tidak mustahil.

“Setiap rakyat Malaysia harus mendukung dan menghormati bahasa kebangsaan. Pemimpin kita sendiri tidak boleh malu menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan mereka, terutama jika mereka lebih fasih dalam bahasa kebangsaan. Mereka harus membenarkan penterjemah profesional menyampaikan mesej mereka dalam bahasa lain.

“Kita melihat ramai pemimpin dunia berbuat demikian, kenapa tidak kita Semakin kerap kita bertegas menggunakan bahasa kita sendiri di platform antarabangsa, semakin banyak bahasa Melayu diiktiraf,” katanya.

Leelany berkata terdapat banyak senario memerlukan khidmat penterjemah dan jurubahasa yang tidak diketahui umum selain terdapat juga institusi yang menyediakan program untuk melatih penterjemah dan jurubahasa, termasuk USM dan Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM), menariknya, bakat-bakat ini mampu dipasarkan di arena antarabangsa.

“Banyak kali orang mengkritik hasil ucapan yang terpaksa dibaca dalam bahasa Inggeris oleh rakyat Malaysia di acara antarabangsa. Kenapa perlu berbahasa Inggeris Sekiranya untuk menunjukkan prestij, hanya mereka yang fasih dapat melakukannya.

-Advertisement-

“Jika kita lebih selesa menggunakan bahasa Melayu, kenapa tidak kita berbangga berbahasa Melayu supaya pemikiran kita dapat disampaikan dengan bebas dan lebih meyakinkan” katanya.

Leelany berkata jurucakap perlu membenarkan penterjemah profesional melakukan kerja mereka, termasuk menjadikan jurucakap itu kelihatan baik berdasarkan kelancaran mesej yang hendak disampaikan.

“Sekiranya Malaysia benar-benar mahu bahasa Melayu menjadi sebahagian daripada bahasa rasmi di PBB, satu perkara yang perlu dilakukan ialah mendukung dan mencintai bahasa kebangsaan kita terlebih dahulu. Biarkan pakar penterjemah melakukan kerja mereka untuk anda,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) Dr Hasuria Che Omar berkata satu persoalan yang tidak kurang pentingnya adalah untuk mengadakan satu badan induk dalam menjaga hal ehwal penterjemah dan juga bertanggungajwab terhadap pensijilan/akreditasi penterjemah di Malaysia.

“Diharapkan, PPM dan ITBM akan terus diberi kepercayaan dan mandat untuk sama-sama memainkan peranan penting dalam memastikan hasil kerja penterjemah profesional dan terlatih disahkan dan diiktiraf, sama ada dalam konteks lokal ataupun antarabangsa.

“Industri yang belum dikawal selia ini memerlukan kerjasama rapat antara kedua-dua badan berkenaan, serta dukungan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memastikan industri terjemahan kekal dilestarikan,” katanya.

Menurut Hasuria, pengiktirafan yang sangat dinanti-nantikan dalam industri penterjemahan di Malaysia masih belum lagi dapat disempurnakan berikutan pelbagai mekanisme yang perlu dipertimbang.

“Pelbagai model yang sedang dipraktikkan oleh persatuan-persatuan penterjemahan di seluruh dunia sedang dikaji dan satu model yang benar-benar sesuai dalam konteks Malaysia akan cuba dibangunkan.

“Kita bernasib baik kerana PPM sebagai ahli Persekutuan Penterjemah Antarabangsa mempunyai ramai rakan persatuan yang bersedia untuk berkongsi maklumat mengenai program akreditasi yang mereka jalankan agar kita dapat membina model berdasarkan acuan sendiri tanpa mengetepikan piawaian yang biasa digunakan secara global,” katanya.

Hasuria berkata mekanisme untuk pensijilan/pengiktirafan/akreditasi ini sangat perlu diadakan, khususnya isu hak penterjemah, hak cipta, gaji dan pendapatan, terutamanya dalam ruang digital yang mana kerja-kerja penterjemahan berlaku dengan pantas serta merentasi sempadan dan bidang.

“Justeru, sekurang-kurangnya satu standard boleh diwujudkan dalam hal penentuan pembayaran kepada penterjemah/jurubahasa,” katanya.- BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share