Sarri tuntut Juventus terus garang

Estimate Reading Time: 2 minutes

MILAN: Maurizio Sarri berasa bangga selepas pemain Juventus mengikut setiap arahannya untuk merakam kemenangan 2-1 ke atas pasukan tetangga, Inter Milan dalam aksi Serie A di San Siro, awal pagi tadi.

-Advertisement-

Juve merakam enam kemenangan dan pasukan tunggal Serie A yang belum tewas setakat ini sekali gus merampas kedudukan teratas liga dengan 19 mata daripada tujuh perlawanan.

-Advertisement-

Lautaro Martinez menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-18 untuk memadamkan gol awal Paulo Dybala sebelum Gonzalo Higuain yang masuk lewat babak kedua menjaringkan gol kemenangan ketika saingan berbaki 10 minit.

Bagaimanapun, Sarri mahu anak buahnya terus memperagakan aksi lebih garang sambil enggan terlalu puas hati dengan kejayaan dipamerkan pada permulaan musim ini.

Foto by Berita Harian

“Pada saya, Juventus masih boleh meningkat lebih baik. Ia proses yang berterusan,” katanya.

“Pasukan ini memiliki kekuatan individu untuk menyumbang kekuatan keseluruhan. Ia bemakna kami mampu melakar kemenangan walaupun mereka tak beraksi pada tahap 100 peratus.

“Berada di puncak ketika ini tidak berapa bermakna sangat sekarang ini. Apa yang penting ialah elemen yang kami serlahkan dalam permainan dengan baik, dengan karekter dan kemahuan pemain untuk mengatasi setiap lawan menjadi faktor kita menang setakat ini.

“Kami bermula dengan baik dan melakukan pendekatan dengan betul dalam suasana getir, maka ia satu petanda yang bagus.”

Matthijs de Ligt menghadiahkan Inter penalti selepas bola sepakan Nicolo Barella terkena tangannya.

Sarri boleh menerima kesukaran De Ligt menyesuaikan diri di benteng sejak tiba dari Ajax musim ini tanpa bantuan Giorgio Chiellini yang masih bergelut dengan kecederaan.

“De Ligt belum mampu bertutur bahasa Itali dengan baik lagi, tapi dia sudah dapat menguasai gaya permainan kami, cara kami bertahan dan segala-galanya, dia masih belajar untuk menguasainya dan ia tampak sedikit bergelut dengannya,” katanya. – BHarian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share