Keselamatan digital aspek penting ke arah negara digital Cybersecurity

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Usaha kerajaan untuk negara bergerak ke arah ekonomi digital seperti dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas perlu turut menitikberatkan aspek keselamatan digital, selain soal pembangunan infrastruktur, aplikasi, sistem syarikat dan galakan ke arah masyarakat digital.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Eksekutif Cybersecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abd Wahab berkata elemen kepercayaan dan keyakinan adalah dua perkara penting yang menjamin penerimaan sesuatu teknologi bagi pengguna.

“Apabila semua perkara sudah berhubung kait baik individu, kerajaan mahupun syarikat, kita akan terdedah dengan ancaman serangan siber. Ini satu kemahiran digital yang diperlukan oleh orang dalam industri mahupun pengguna,” katanya.

Atas sebab itu, beliau berpendapat kerjasama antara pihak berkepentingan seperti kerajaan, swasta dan akademia amat perlu untuk memastikan elemen keselamatan digital dimasukkan sebagai teras pembangunan dan penggunaan teknologi.

“Kami di Cybersecurity sendiri sedang membangun Inisiatif Etika Siber Kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menerapkan nilai murni, perilaku baik, pengawalan kendiri dan sikap kebertanggungjawaban penggunaan teknologi digital,” tambahnya.

-Advertisement-

Rangka kerja pelesenan bank digital yang dijangka diterbitkan Bank Negara Malaysia (BNM) menjelang akhir tahun ini turut menarik perhatian Amirudin. Menurut beliau, di sinilah aspek keselamatan siber perlu diambil kira dalam proses merangka, membangunkan keupayaan kemahiran digital, pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

Tambah beliau, pengenalan konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) adalah bertepatan dalam usaha menggalakkan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta.

DSR adalah komitmen oleh sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital untuk masyarakat yang memerlukan. Sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberi potongan cukai.

Beliau turut mengalu-alukan insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pelanjutan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi.

“Ini akan menggalakkan lagi perkongsian ilmu dan tenaga pakar antara pihak swasta dan kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share