Agong terima Anugerah Khas Majlis Olimpik Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima Anugerah Khas Diraja Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2019 bagi mengiktiraf penglibatan dan sumbangan Seri Paduka dalam sukan.

-Advertisement-

Piala itu, berbentuk sebuah glob, memaparkan kesemua bandar tuan rumah Sukan Olimpik, yang menjadi simbol kepada pergerakan Olimpik dengan aksi altet-atlet sukan utama di Malaysia di bahagian bawah, termasuk tiga yang menjadi kegemaran Al-Sultan Abdullah iaitu bola sepak, hoki dan polo telah disampaikan pada Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia ke-26 di sini malam ini.

Piala tersebut telah dibawa naik ke pentas oleh empat pemenang pingat Olimpik negara, Cheah Soon Kit dan Rashid Sidek (Atlanta 1996), Datuk Lee Chong Wei (Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016) dan Pandalela Rinong (London 2012 dan Rio 2016).

Bekas pemain nombor satu badminton dunia Chong Wei, kemudiannya menyerahkan piala tersebut kepada Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, pada majlis yang sama, ratu gimnas kebangsaan Farah Ann Abd Hadi dan juara wushu, Loh Choon How diisytiharkan sebagai Olimpian 2019.

Farah, 25, sekali lagi memberikan persembahan memukau untuk memenangi tiga pingat emas di Sukan SEA ke-30 di Filipina, baru-baru ini, menjadikan keseluruhan beliau mengutip tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa sejak penampilannya di Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Di Filipina, beliau memenangi emas dalam acara wanita all-round, senam lantai dan palang bertingkat.

Farah juga menjadi gimnas artistik wanita negara pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ketika sesi kelayakan di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman pada Oktober.

Kali terakhir atlet gimnas layak ke acara sukan terbesar dunia itu ketika Au Li Yen layak ke edisi Sydney 2000.

Sementara itu, Choon How, yang mengetepikan kesakitan dialaminya, untuk membawa pulang dua emas Sukan SEA dengan menewaskan lawan bertaraf dunia dalam acara taijijian dan taijiquan lelaki.

Mereka masing-masing menerima RM10,000 dan pingat emas khas, yang disampaikan Al-Sultan Abdullah.

Majlis malam itu turut menyaksikan lima tokoh sukan disenaraikan ke dalam ‘Hall of Fame’ MOM, iaitu satu pengiktirafan kepada atlet, pegawai sukan, wartawan sukan dan media.

Senarai didahului Almarhun Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas sumbangan baginda kepada bola sepak, antaranya Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dari 1994-2002 dan Presiden AFF sejak 2011.

Tokoh lain yang terpilih adalah, bekas setiausaha agung MOM Datuk Sieh Kok Chi (polo air dan MOM); Datuk Rolan Wong Choon Tat (badminton); Leftenan-Jeneral (B) Datuk Seri Panglima Abdul Manap Ibrahim (hoki); dan bekas pemain tenis S.A. Azman.

Senarai penuh penerima

-Advertisement-

———————————

Olimpian 2019:

1. Loh Choon How (lelaki)

2. Farah Ann Abd Hadi (wanita)

Hall of Fame MOM:

1. Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (bola sepak)

2. Datuk Sieh Kok Chi (polo air dan MOM)

3. Datuk Roland Wong Choon Tat (badminton)

4. Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Panglima Abdul Manap Ibrahim (hoki)

5. S. A. Azman (tenis)

Anugerah Khas Diraja 2019:

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Piala IOC:

Perbadanan Stadium Malaysia

Anugerah Wanita dan Sukan MOM:

Toh Puan Zainon Hussein- BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share