Jenamakan semula tugas pengawal keselamatan untuk tarik minat rakyat, kata majikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia meminta kerajaan menjenamakan semula tugas dan peranan pengawal keselamatan untuk menarik minat rakyat terhadap pekerjaan itu berbanding mengupah warga asing.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata kerajaan perlu mengawal selia industri itu untuk menjadikannya cukup menarik bagi orang tempatan berminat terhadapnya.

-Advertisement-

“Penjenamaan semula kerja ini adalah penting. Memperluaskan skop kerja ini dengan memberi mereka antara lain latihan memadam kebakaran, bantuan dan tindak balas kecemasan untuk warga Malaysia,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan akhbar Pakistan, The Nation memetik Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, Amna Baloch, yang Putrajaya sedang berunding dengan negara itu untuk pengambilan pengawal keselamatan.

Menurut laporan itu, Malaysia berpotensi mengambil kira-kira 100,000 hingga 150,000 pengawal keselamatan dan perjanjian menghantar pengawal keselamatan Pakistan ke negara ini dijadual dimuktamadkan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Imran Khan ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kadar pengangguran belia di Malaysia di tahap 10.9%, lebih 3 kali ganda kadar kebangsaan 3.3% dan meningkat secara beransur-ansur sejak sedekad lalu.

Shamsuddin berkata, gaji rakyat tempatan boleh setanding latihan dan kemahiran yang diperolehi mereka.

Katanya, ramai yang berminat dengan kerja keselamatan selepas gagal menyertai pasukan polis dan tentera.

“Ada yang suka kerja ini kerana ia dihormati.”

Beliau berkata, tiba masanya untuk Putrajaya berhenti mengkomersialkan pekerja asing seperti dilakukan ejen pekerjaan.

“Untuk ejen, lebih ramai pekerja asing yang mereka bawa masuk, lebih banyak wang yang mereka dapat. Putrajaya perlu mengkaji cara untuk menarik orang tempatan untuk bekerja di sektor keselamatan.”

Adrian Pereira, pengarah eksekutif Inisiatif Utara-Selatan berkata industri itu tidak dikawal selia menyebabkan orang tempatan tidak berminat dengannya.

-Advertisement-

Katanya, pengawal keselamatan buat masa ini kebanyakannya ialah orang Nepal yang bekerja 12 jam sehari dan kira-kira 6 hari seminggu.

“Terang-terangan industri ini perlu dikawal selia. Putrajaya perlu menetapkan waktu bekerja dan perlindungan sosial lebih baik untuk menjadikannya lebih sesuai bagi orang tempatan.”

Katanya, ramai anggota tentera dan polis bersara mahu bekerja sebagai pengawal keselamatan, tetapi waktu bekerja menjadi penghalang.

“Selepas kerajaan mengubah peraturan, jika tiada orang berminat dengan kerja ini, maka mereka boleh mengambil warga asing.”

Beliau mahu Putrajaya memperkemaskan butiran pengambilan pekerja kerana ia membabitkan beberapa kementerian.

Katanya, isu buruh ditangani Kementerian Sumber Manusia, tetapi pengambilan pengawal keselamatan diuruskan Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata, pusat sehenti untuk pengambilan pekerja asing perlu diwujudkan untuk memperkemaskan keperluan pasaran buruh.

Katanya, pengambilan pekerja asing khasnya pengawal keselamatan ialah perniagaan menguntungkan dan ejen akan cuba mengambil seramai mungkin.

Beliau mendakwa ketika ini pengawal keselamatan Nepal dibayar kira-kira RM1,800 sebulan, tetapi ejen mungkin mendapat sehingga RM3,000 sebulan bagi setiap seorang.

Beliau yang tidak bersetuju dengan diskriminasi kerja antara orang tempatan dan warga asing, menggesa kerajaan mengkaji semula setiap dasar berkaitan pengambilan pengawal keselamatan supaya ia menjadi tarikan kepada warga tempatan. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share