Tak salah fatwa ‘bin Abdullah’ disemak, kata mufti

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor hari ini berkata tidak salah fatwa lama melarang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf menggunakan nama bapa kandung disemak dan diubah sekiranya didapati ada keperluan.

Beliau berkata walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan semalam selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 1981, terdapat beberapa ulama besar silam yang mengharuskan kanak-kanak luar nikah dihubungkan nasab dengan bapa kandung.

-Advertisement-

“Perlu difahami fatwa bersifat ijtihadi yang boleh berubah mengikut perubahan zaman, tempat dan situasi.

“Dengan meneliti pandangan atau fatwa lama ini kita dapati ianya tidak disepakati oleh para ulama (tidak ijmak), tetapi ia pandangan jumhur atau majoriti sahaja,” katanya kepada FMT.

Beliau seterusnya mengingatkan ciri-ciri ajaran Islam adalah keadilan, kerahmatan, kebijaksanaan, dan kemaslahatan.

Pada pandanganya, keadilan dalam ajaran Islam menuntut dosa ibu bapa tidak dibebankan pada anak.

-Advertisement-

“Manakala rahmat, kebijaksanaan dan maslahah memerlukan aspek psikologi kanak-kanak terbabit dan kepentingan masa depannya dipertimbangkan serta dipelihara, tidak dirosakkan dengan tidak di’bin’ atau di’binti’kan kepada bapa daging darahnya,” katanya.

Menurut Wan Salim, mazhab Shafi’i, Hanafi, Maliki, dan Hanbali umumnya tidak mengiktiraf anak yang lahir kurang daripada 6 bulan 2 saat daripada pernikahan ibu bapanya sebagai anak sah taraf, dan oleh itu tidak boleh menggunakan nama bapa kandung.

“Ekoran itu kanak-kanak sedemikian tidak boleh mewarisi harta peninggalan bapanya, tidak nenjadi mahram dengan adik beradiknya dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memerintahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan “bin Abdullah” daripada sijil lahir seorang kanak-kanak lelaki Islam di Johor yang tidak sah taraf.

Mahkamah juga memerintahkan kanak-kanak itu tidak boleh menggunakan nama bapa kandungnya. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share