Zahid mahu surat hasrat dikeluarkan serta-merta, kata saksi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes rasuah timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi bahawa proses penganugerahan kontrak membekal cip pasport 4 tahun lepas tidak perlu disegerakan.

-Advertisement-

Abd Aziz Md Nor, setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri ketika itu berkata demikian apabila disoal berulang kali oleh peguam Hamidi Mohd Nor.

Hamidi bertanya sama ada insiden kekurangan pasport pada 2016 merupakan salah satu sebab yang mendorong kerajaan pada masa itu segera mengeluarkan surat hasrat kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd untuk membekalkan cip pasport.

Aziz juga membacakan surat daripada Datasonic kepada Zahid, yang merupakan menteri dalam negeri pada masa itu, di mana Zahid menulis satu nota pada 15 Okt 2015, yang meminta pegawai kementerian berkenaan mengeluarkan surat hasrat kepada syarikat itu dengan serta-merta.

“Daripada kefahaman saya ke atas nota menteri, surat hasrat itu perlu dikeluarkan serta-merta,” katanya.

Aziz juga berkata, arahan menteri supaya proses itu disegerakan tidak janggal, tetapi ia jarang berlaku.

-Advertisement-

Datasonic dianugerahi kontrak membekal cip pasport bernilai RM318.7 juta melalui rundingan terus untuk tempoh 5 tahun dari 1 Dis 2016 hingga 30 Nov 2021.

Zahid didakwa menerima RM6 juta daripada pengarah Datasonic, Chew Ben Ben pada April 2017 kerana melantik syarikat tersebut sebagai pembekal cip pasport.

Peguam bersama Ahmad Zaidi Zainal bertanya sama ada proses penganugerahan kontrak itu mematuhi prosedur dan garis panduan kementerian, yang menyaksikan Aziz mengiyakannya.

Bagaimanapun saksi itu berkata, beliau tidak pasti sama ada terdapat syarikat lain yang boleh membekalkan cip pasport kepada kerajaan.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence bersambung pada 19 Feb.

Zahid berdepan 47 pertuduhan, termasuk pecah amanah jenayah, pengubahan wang dan menerima rasuah dalam beberapa projek semasa memegang jawatan menteri dalam negeri. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share