Wang ASB ditipu Macau Scam

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Seorang suri rumah di Temerloh terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM65,000 apabila wang daripada akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), miliknya lesap dipercayai angkara Macau Scam, semalam.

Kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek yang mendakwa, polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, kononnya terdapat perintah mahkamah dikeluarkan untuk membekukan semua asetnya.

-Advertisement-

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek meminta mangsa yang berusia 53 tahun supaya tidak memberitahu kepada sesiapa berkenaan perkara berkenaan.

“Pada hari sama, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lagi suspek yang memaklumkan mangsa hanya mempunyai masa lebih kurang dua jam sebelum segala asetnya dibekukan.

“Bagi mengelakkan daripada terkena tindakan mahkamah serta penjara, suspek meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam satu akaun yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat dua kali pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM35,000.

“Sumber wang yang mangsa pindahkan berkenaan adalah dari wang simpanan ASB miliknya sendiri. Apabila sampai ke rumah, mangsa baru menyedari dia sudah ditipu dan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk membuat laporan polis.

“Suspek sangat licik dalam memanipulasi mangsa agar tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa termasuk anak mangsa,” katanya.

Katanya, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang berurusan di telefon dan media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Berita Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share