Salleh Ibrahim Telah Meninggal Dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU, 8 Mac — Lagenda bola sepak negara Allahyarham Salleh Ibrahim yang meninggal dunia hari ini, merupakan “generasi emas” negara yang sukar ditandingi sehingga kini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pemergian Allahyarham pada 12.30 tengah hari, hari ini di kediamannya di Pengkalan Chepa, akibat bengkak hati, merupakan satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara.

“Allahyarham seorang pemain emas, yang dilahirkan dari negeri ini yang membina nama negara di peringkat dunia, sehingga digeruni pada eranya.

“Sudah tentu kami kehilangan seorang lagenda yang hebat dan sukar disaingi, oleh pemain generasi ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Salleh seorang pemain yang mewakili skuad negara di Sukan Olimpik Munich 1972, menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun, dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Landak, Pengkalan Chepa, meninggalkan seorang balu Zainon Abdullah serta enam anak.

Allayarham dikenali sebagai pemain kental di penjuru sayap yang dilahirkan di Kedai Ketereh, Kelantan, adalah antara wira negara di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, dengan menyumbang gol kedua pada minit ke-61 ketika Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 3-0 di Ingolstadt pada peringkat kumpulan.

-Advertisement-

-Advertisement-

Wan Abdul Rahim berkata KAFA mengucapkan salam takziah kepada  keluarga Allayarham dan berterima kasih terhadap sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan bola sepak Kelantan secara lanngsung atau tidak langsung.

Sementara itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Nama Allahyarham meniti di bibir peminat, selepas berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia pada awal 70-an apabila diberi peluang beraksi di sisi Syed Ahmad Abu Bakar, Shaharuddin Abdullah, Wan Zawawi Wan Yusoff, V Krishnasamy dan Namat Abdullah, individu-individu yang membentuk teras pasukan kebangsaan.

“Allahyarham yang selesa beraksi sama ada di sayap kanan atau kiri, mewakili Kelantan dari 1963 hingga 1972, selain Perak dari 1973 hingga 1980,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kemuncak kerjaya Allahyarham tentu sekali apabila berganding bahu dengan Shaharuddin Abdullah dan Looi Loon Teck, selaku tiga serangkai serangan negara di Munich 1972, bahkan namanya terakam dalam sejarah sebagai seorang daripada hanya tiga pemain negara yang menjaringkan gol di Sukan Olimpik.

— BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share