Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh ditutup

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh ditutup keseluruhannya, mulai hari ini hingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, susulan seorang tenaga pengajarnya disahkan positif COVID-19.

-Advertisement-

Menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM, pagi ini, langkah itu bertujuan menjaga keselamatan staf dan pelajar, sekali gus mengekang penularan virus berkenaan.

Semalam, media melaporkan kakitangan berkenaan dipercayai menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat dilapor mengesahkan kakitangan terbabit positif COVID-19, kelmarin, dan sedang menerima rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, dengan keadaannya dilaporkan stabil.

Sebagai langkah proaktif, UTHM juga sudah membuat pengesanan bagi mengenal pasti individu mempunyai kontak secara langsung dengan tenaga pengajar terbabit supaya mereka menjalani saringan yang diadakan mulai hari ini di Kampus Pagoh dan Kampus Induk Parit Raja.

-Advertisement-

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly, ketika dihubungi memaklumkan hampir 3,000 kakitangan dan pelajar yang terjejas di Kampus Pagoh diarahkan menjalani kuliah serta kelas secara dalam talian hingga makluman lanjut.

“Kami mengambil maklum nasihat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dan proses pembersihan serta sanitasi di UTHM Kampus Pagoh sedang giat dijalankan sejak semalam.

“Pihak pengurusan UTHM sedang berusaha memastikan tahap kesihatan serta persekitaran kondusif yang maksimum terjamin di semua Pusat Tanggungjawab universiti ini membabitkan kedua-dua Kampus Induk Parit Raja dan Kampus Pagoh.

“Antara langkah segera yang dilaksanakan ialah menangguhkan semua aktiviti dan perhimpunan membabitkan pelajar serta staf di Kampus Induk dan Kampus Pagoh hingga 31 Mac ini,” katanya.

Berikutan perkembangan berkenaan, sesi kuliah di Kampus Pagoh ditangguhkan mulai semalam hingga makluman lanjut. – Berita Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share