Doktor yang telah bersara akan dipanggil jika kes Covid-19 naik mendadak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia memanggil semula doktor bersara atau pegawai perubatan yang berkhidmat dalam angkatan tentera jika berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara ini.

-Advertisement-

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, langkah itu hanya akan dilakukan apabila perlu bagi mengimbangi keperluan doktor sedia ada dalam usaha meningkatkan sistem penjagaan kesihatan negara.

“Sekiranya berlaku pertambahan kes seperti di negara luar yang (naik) mendadak, kita tidak ada alasan untuk (tidak) panggil balik doktor yang sudah pencen dan doktor angkatan tentera untuk bantu kita,” katanya ketika menjadi tetamu sebuah program yang disiarkan TV1 malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, negara masih mempunyai keupayaan doktor mencukupi bagi mengawal kes berkaitan Covid-19 dan masalah kesihatan lain.

Ia termasuk usaha kementerian menempatkan 1,000 doktor pelatih di 44 hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan Covid-19, sekaligus meredakan bebanan doktor sedia ada.

-Advertisement-

Katanya, kementerian turut menambah 830 jururawat lantikan secara kontrak bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan seluruh negara memandangkan bilangan kes positif Covid-19 semakin ketara sejak minggu lepas.

Beliau berharap Malaysia dapat menjadi salah sebuah negara yang mampu membangunkan vaksin, termasuk Covid-19 bagi melindungi rakyat daripada virus membawa maut.

“Kita akan menyertai WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) supaya ada pakar kita akan sama-sama berinteraksi supaya kita boleh jadi salah satu negara yang membangunkan vaksin ini. Usaha ini bagi masa depan untuk kita lindungi rakyat kita.”

Terdahulu, dalam program Eksklusif Menteri Kesihatan di Berita Perdana TV1 malam tadi, Adham berkata tanda-tanda jumlah kes Covid-19 di Malaysia akan stabil sudah ada dan berharap angkanya tidak akan meningkat lagi.

Bilangan kes baru positif Covid-19 di negara ini mula menunjukkan trend mendatar dengan jumlah 125 kes direkodkan pada Isnin, diikuti 120 kes (Selasa), 117 kes (Rabu) dan 110 kes semalam. – FMT

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares