Memaksa majikan bayar gaji penuh boleh mengundang implikasi buruk

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi memberi amaran bahawa langkah memaksa majikan membayar gaji penuh dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan boleh mengundang implikasi buruk.

Syarikat yang gagal menjana pendapatan mencukupi boleh bankrap dalam tempoh 3 bulan, kata Woo Wing Thye dari Universiti Sunway kepada FMT.

-Advertisement-

Turut berpotensi membawa bencana sekiranya kerajaan terus melarang syarikat daripada membuang pekerja, katanya.

Beliau memberi respons terhadap arahan kerajaan yang menghendaki majikan membayar gaji penuh kepada pekerja dalam perkhidmatan bukan-perlu sepanjang tempoh 2 minggu perintah kawalan pergerakan berjalan.

Woo menggesa pelaksanaan “ekonomi bilik kecemasan” sewaktu perintah kawalan berkuat kuasa dengan bantuan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, golongan berpendapatan rendah yang bekerja sendiri seperti penjaja pasar malam dan buruh bebas harus diberikan bantuan tunai langsung sebanyak RM1,100 sebulan sepanjang tempoh perintah kawalan atau maksimum 3 bulan.

“Ini kerana rakyat Malaysia tidak berkemampuan melalui tempoh perintah kawalan melebihi 2 bulan,” katanya.

Bagi pekerja berpendapatan RM1,300 atau lebih rendah, beliau mencadangkan bayaran tunai sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan, dengan kerajaan memberi pinjaman kepada syarikat untuk menampung upah selama tempoh maksimum 3 bulan.

“Sekiranya syarikat boleh menunjukkan bahawa mereka benar-benar menggunakan wang itu untuk membayar gaji dan tidak membuang pekerja bergaji rendah, maka kerajaan boleh melupuskan 50% daripada pinjaman itu selepas 3 bulan,” katanya.

“Perkongsian beban upah awam-swasta ini akan melindungi kumpulan yang berisiko dengan tidak menggalakkan syarikat membuang pekerja bergaji rendah.”

Beliau berkata, Bank Negara (BNM) boleh mencetak wang bagi membiayai program bantuan 3 bulan itu.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak mampu untuk menampung pekerja yang mendapat gaji RM1,300 ke atas dan seharusnya membantu memudah cara rundingan antara majikan dan kesatuan bagi membolehkan potongan gaji 15% dibuat selama 3 bulan.

-Advertisement-

“Majikan, pekerja dan kerajaan perlu berkongsi beban upah bagi membolehkan syarikat terus berjalan dan melindungi kumpulan pekerja bergaji rendah mereka.”

Pengarah penyelidikan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Laurence Todd mengongsi sentimen serupa.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah mensubsidi pendapatan golongan yang tidak dapat bekerja ke tahap tertentu dalam tempoh perintah kawalan.

“Titik permulaannya ialah memastikan semua orang terus memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya gaji minimum,“ katanya.

“Saya fikir adalah menjadi tanggungjawab masyarakat bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang berdepan kesukaran melampau, baik individu atau syarikat.”

Beliau berkata, langkah sedemikian tidak boleh dilakukan untuk tempoh panjang, justeru kemampuan negara menjalankan ujian saringan Covid-19 perlu diperluaskan bagi membolehkan virus tersebut dikawal tanpa perlu melaksanakan banyak sekatan.

Setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata, potongan gaji tidak harus dikenakan ke atas kumpulan B40 dan M40, hatta apabila perintah kawalan dilanjutkan.

“Pada waktu ekonomi baik, majikan tidak pernah berkongsi kekayaan yang diperoleh daripada peluh pekerja secara saksama,” katanya.

“Oleh sebab itu wujud jurang pendapatan yang luas di negara ini.

“Ramai yang tidak mampu menampung kehidupan pada masa biasa dengan gaji kecil yang mereka perolehi. Bagaimanakah mereka mahu hidup sekiranya potongan gaji dibuat pada masa krisis?. – FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share