Mahkamah di seluruh negara ditutup

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Susulan lanjutan tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), mahkamah di seluruh negara terus ditutup dan perbicaraan kes mahkamah juga ditangguhkan.

-Advertisement-

Mengikut kenyataan media dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), panduan pengendalian kes adalah sama seperti yang diumumkan pada 17 Mac lepas.

Ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pada 17 Mac lepas berkata permohonan untuk tahanan reman dan pendaftaran kes baru dan urusan jamin dijalankan seperti biasa.

Menurut kenyataan PKPMP, bagi memastikan akses kepada keadilan semasa tempoh lanjutan pelaksanaan PKP, pihak dalam kes sivil boleh memohon kepada mahkamah untuk pendengaran kes sivil secara dalam talian.

Pendengaran kes sivil secara dalam talian boleh dilakukan menggunakan sistem e-Review, pertukaran e-mel atau sidang video atas syarat dengan persetujuan pihak-pihak dan juga kebenaran permohonan berkenaan adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

-Advertisement-

Prosiding yang boleh dipohon untuk didengar secara dalam talian adalah semua permohonan pendengaran permohonan “ex-parte” atau “inter-partes” yang difailkan bersama perakuan segera di Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Rendah di semenanjung.

Di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di Sabah dan Sarawak, semua prosiding termasuk sebutan, permohonan, bicara, rayuan, mediasi, pengurusan kes, klarifikasi dan keputusan yang mana tarikh telah ditetapkan, adalah secara e-Review atau sidang video.

Permohonan untuk pendengaran secara sidang video perlu dibuat kepada pihak mahkamah melalui e-mel sekurang-kurangnya 3 hari sebelum tarikh pendengaran atau sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah.

Menurut kenyataan itu, pihak-pihak terlibat hendaklah berpakaian sopan dan yang bersesuaian semasa prosiding secara sidang video.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April untuk membendung penularan wabak Covid-19. – FMT

Share this Article
  • 5
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    5
    Shares