EWAR kesan suhu tidak normal 15 individu sesaat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) memperkenalkan inovasi terbaru dikenali Early Warning, Alert & Response atau EWAR yang membantu memudahkan pengesanan suhu awal tidak normal dalam kalangan khalayak, sekali gus membendung penularan COVID-19.

-Advertisement-

EWAR dibangunkan TM Research & Development (TM R&D), dilengkapi dengan dwi kamera (haba dan optik) yang berupaya mengesan suhu tidak normal membabitkan 15 individu bagi setiap saat secara serentak.

Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah, berkata inovasi yang disifatkan sebagai ‘penyelesaian’ ini bersifat tidak menggangu dan boleh dipasang dengan mudah di mana-mana lokasi yang mempunyai trafik pengunjung seperti pejabat, kompleks beli-belah, hab pengangkutan, universiti, sekolah, pusat tumpuan pelancong, lapangan terbang, pusat imigresen dan hospital.

“Langkah pengesanan awal, pengasingan dan perawatan kes, pengesanan kontak dan penjarakan sosial amat penting dalam membantu mencegah virus daripada terus merebak.

“Dengan menggunakan EWAR, pemantauan secara masa nyata dan pengesanan di peringkat awal boleh dilakukan dengan interaksi manusia yang minimum. Justeru langkah berikutnya yang perlu diambil seperti pengasingan dan rawatan boleh dijalankan dengan segera,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, dengan keupayaan internet kebendaan (IoT) melalui platform inovasi terbuka (OIP), pengesanan kontak boleh dilakukan sebaik mungkin kerana data dan maklumat tentang individu yang mengalami suhu tinggi boleh diperoleh dan dimaklumkan secara masa nyata kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk perancangan dan tindak balas kecemasan.

“OIP juga boleh berkomunikasi dengan pasukan bertindak COVID-19 kebangsaan untuk pengasingan awal. Mengaplikasikan kepintaran buatan (AI), maklumat tentang umur, jantina boleh dirakam untuk pengguna meramal jangkaan umur dan jantina berbeza.

“AI boleh menganalisis corak sedia ada untuk meramal apa yang akan berlaku seterusnya mengikut turutan. Papan muka EWAR menyediakan analisis data terdahulu dan secara langsung, serta makluman geolokasi untuk tujuan pemantauan,” katanya.

Dr Sharlene berkata, pihaknya percaya pembangunan EWAR tepat pada masanya dan amat bersesuaian digunakan di kawasan tumpuan ramai, sekali gus menawarkan bantuan yang amat diperlukan untuk mengekang jangkitan virus seperti COVID- 19 dan seterusnya mampu melawannya.

Organisasi dan individu berminat dengan EWAR boleh menghubungi TM R&D di business@tmrnd.com.my.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share