Pengeluar topeng tunggu bantuan Putrajaya

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, Putrajaya sedang mencari jalan untuk membantu pengeluar topeng, selepas sebuah syarikat memberitahu pengeluaran terpaksa dihentikan.

-Advertisement-

Linggi berkata: “Kami sedang mencari jalan untuk membantu mereka, isu ini tidak dikaitkan dengan satu kementerian saja, tetapi kami sedang bekerjasama sebagai sebuah kerajaan untuk mencari penyelesaian.”

Katanya, pengeluar tempatan hanya mampu menghasilkan kira-kira 1.2 juta topeng sehari dan kerajaan bergantung kepada pengimportan juga.

Minggu lalu, seorang pengeluar tempatan berkata, syarikatnya tidak mampu meneruskan pengeluaran kerana penetapan harga siling baru RM1.50 tidak memanfaatkannya disebabkan duti import dan kos bahan mentah yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Healthcare Sdn Bhd, Haminnuddin Hamid memberitahu FMT semalam, syarikatnya hanya mempunyai bekalan bahan mentah selama 2 minggu.

-Advertisement-

Bahan mentah itu diimport bulan lalu dan tertakluk kepada 30% duti import dan cukai jualan.

Beliau berkata, syarikatnya sudah membuat permohonan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk pengecualian duti import.

Katanya, Putrajaya perlu mempertimbangkan pemberian insentif lain, seperti geran untuk membantu pengeluar tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran melalui automasi.

Syarikat tempatan lain yang mengeluarkan topeng ialah Medidata Sdn Bhd, Creative Contract Sdn Bhd, Cross Protection Sdn Bhd dan Medipro Sdn Bhd.

Jurucakap Mida berkata, permohonan duti import biasanya mengambil masa sehingga 4 minggu, tetapi keutamaan diberikan kepada permohonan berkaitan barang keperluan asas.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share