Tiada ancaman serangan siber agensi kerajaan sepanjang PKP

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Tiada ancaman siber berlaku yang menyasarkan organisasi kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ismail Sabri Yaakob.

-Advertisement-

Menteri kanan itu berkata beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai ancaman siber setakat ini.

“Setakat ini, tidak ada laporan serangan siber terhadap agensi kerajaan, kementerian-kementerian atau jabatan kerajaan,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat khas menteri termasuk pihak berkepentingan dalam mendepani penularan Covid-19 di Perdana Putra.

Ismail yang juga menteri pertahanan juga memaklumkan, indeks jenayah ketika PKP seluruh negara menurun sebanyak 70%.

Bagaimanapun beliau berkata kes mereka yang ditahan kerana melanggar PKP masih tinggi.

-Advertisement-

“Semalam Polis bersama tentera mengadakan sebanyak 763 sekatan jalan raya seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 443,160 kenderaan. Sebanyak 36,845 pemeriksan mengejut diadakan di seluruh negara dan sebanyak 4,571 premis diperiksa pihak berkuasa.

“Polis juga menahan 403 individu di sekatan jalan raya kerana melanggar PKP, jumlahnya menurun 26% berbanding 554 pada hari sebelumnya. Namun, jumlah tangkapan 403 individu ini masih tinggi berbanding sebelum ini.

“Daripada 403 individu yang ditahan semalam, jumlah yang direman 347 individu dan 56 dijamin,” katanya sambil memaklumkan sehingga kini jumlah keseluruhan tangkapan mereka ingkar PKP bermula 18 Mac sehingga semalam seramai 6,451 individu.

Ismail turut memaklumkan sebanyak 666 kawasan dijalankan nyahjangkitan awam melibatkan 79 zon.

“Semua zon merah telah dinyahcemar,” katanya.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share