4 topeng percuma bagi setiap keluarga

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Menteri kanan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 4 keping topeng percuma akan diagihkan kepada setiap isi rumah dalam masa beberapa hari ini.

-Advertisement-

Katanya, sebanyak 24.62 juta topeng dalam proses pengedaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk diagihkan petugas barisan depan di setiap daerah.

Beliau berkata, penghantaran topeng ke Sabah, Sarawak dan Labuan akan disegerakan dengan bantuan penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia pada Jumaat ini.

“Seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM), hanya mereka yang bergejala perlu memakai topeng,” katanya dalam taklimat harian krisis Covid-19 hari ini.

Mengenai Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Ismail berkata, 97% penduduk di 2 bangunan itu ialah warga asing.

“Jadi keperluan harian mereka, termasuk makanan mereka ialah tanggungjawab kedutaan masing-masing.”

Katanya, warga asing boleh meminta bantuan pusat operasi di sana untuk membeli makanan, tetapi mereka perlu membayar sendiri.

Dua bangunan itu yang mempunyai 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman serta premis perniagaan dikenakan PKPD selama 14 hari bermula semalam, selepas 15 kes positif Covid-19.

Hotel jadi pusat kuarantin 

Ismail berkata, kos harian RM150 yang ditanggung kerajaan ialah bayaran untuk bilik dan makanan 3 kali sehari.

Beliau mempertikaikan dakwaan tiada perjanjian antara hotel dan pihak berkuasa seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Pelancongan mengenai kadar RM150 yang disubsidi kerajaan.

-Advertisement-

Katanya, hotel yang berdaftar sebagai pusat kuarantin sudah bersetuju dengan kadar itu.

“Ini sah capai persetujuan bahawa kadar penginapan dan makanan adalah RM150 sahaja.

“Tak perlu bayar lebih.”

Beliau berkata, dengan menggunakan bilik hotel sebagai pusat kuarantin, kerajaan mahu memastikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada rakyat.

Dengan cara ini, katanya, mereka yang membayar lebih untuk tinggal di hotel 5 bintang boleh membuat aduan mengenai penginapan mereka kepada hotel itu sendiri.

Keadaan teruk di pusat kuarantin

Ismail mengakui terdapat aduan mengenai keadaan sangat teruk di sesetengah pusat kuarantin.

Katanya, aduan itu sudah ditangani dan selesai, termasuk di Johor yang menempatkan rakyat pulang dari Singapura.

“Ini hanya sementara kerana mereka tiba dalam jumlah ramai dari Singapura yang pihak berkuasa tidak boleh rancang, begitu juga rakyat yang balik dengan penerbangan.”

Ismail berkata, pihak berkuasa tahu lebih awal jumlah rakyat yang akan pulang dengan menaiki pesawat.

-BH

Share this Article
  • 16
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    16
    Shares