Penangguhan haji tahun ini belum pasti

Estimate Reading Time: 1 minute

KUALA LUMPUR: Arab Saudi masih belum membuat keputusan rasmi berhubung ibadah haji tahun ini, sama ada akan ditangguhkan atau sebaliknya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, menjelaskan perkara itu dimaklumkan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan, semalam.

-Advertisement-

“Wabak COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini, turut memberi kesan kepada Arab Saudi yang menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

“Pada bulan lalu, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun berikutan kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

“Bertitik tolak daripada hal itu, saya mengadakan pertemuan dengan Mahmoud Hussien semalam. Turut hadir, Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an; Pengurus Besar Kanan Haji, Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said.

“Ini bagi mendapatkan penjelasan yang tuntas berkenaan isu pelaksanaan ibadah haji bagi tahun ini. Berdasarkan penjelasan Mahmoud Hussien, ‘belum ada sebarang kenyataan rasmi’ dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan ‘penangguhan ibadah haji’ bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

-Advertisement-

Rabu lalu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Mohammed Saleh Benten, meminta umat Islam untuk menangguhkan sebarang rancangan untuk menunaikan haji dan umrah sebelum sebarang perkembangan mengenai COVID-19 diketahui.

Bagaimanapun katanya, Arab Saudi bersedia sepenuhnya untuk menerima jemaah haji dan umrah.

Susulan penjelasan oleh Mahmoud Hussein, Zulkifli menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan soal ibadah haji tahun ini.

Beliau sebaliknya menasihati umat Islam untuk terus berdoa semoga Allah SWT menghilangkan wabak COVID-19 dan memelihara dua kota suci umat Islam itu daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share