1,000 sukarelawan Mercy Malaysia kini di lapangan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 sukarelawan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) kini berada di seluruh negara, membantu pengendalian kes COVID-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

-Advertisement-

Pengurus Besar Operasi Program MERCY Malaysia, Said Alhudzari Ibrahim, berkata daripada jumlah itu, kira-kira 200 sukarelawan adalah doktor dan jururawat daripada sektor swasta, institusi bukan KKM dan pesara.

Katanya, kumpulan ini bertanggungjawab membantu barisan hadapan KKM di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat serta Krisis Kebangsaan (CPRC) dan pejabat serta klinik kesihatan.

“Sukarelawan kita membantu tugas seperti pengambilan sampel daripada pesakit, terutama di kawasan zon merah, yang sememangnya memerlukan petugas kesihatan tambahan seperti di Kluang.

“Selain itu, sukarelawan lain terdiri daripada mereka yang bertanggungjawab dalam bidang logistik, iaitu bagi mengagihkan bantuan ke seluruh negara, manakala satu kumpulan adalah sebagai perancang, iaitu yang menentukan lokasi dan jumlah agihan yang diperuntukkan kepada satu-satu pihak.

“Kita menerima banyak permintaan barangan keperluan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) dan topeng muka, justeru perancangan yang rapi perlu supaya agihan itu tidak bertindih dan sampai kepada pihak yang betul-betul memerlukan,” katanya kepada BH, hari ini.

-Advertisement-

Said Alhudzari berkata, ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan MERCY Malaysia, namun pihaknya terpaksa membuat saringan bagi menumpukan kepada bidang yang betul-betul diperlukan ketika ini.

“Sebagai contoh, kita memerlukan tukang jahit untuk menjahit PPE. Ketika ini, kita bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Klang, di mana MERCY Malaysia menyumbang 12 mesin jahit untuk sukarelawan di situ menjahit PPE,” katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya juga terus menerima sumbangan sama ada dalam bentuk barangan dan wang tunai daripada badan korporat seperti bank dan pengeluar barangan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, sehingga 6 April lalu, MERCY Malaysia menerima lebih 79,000 topeng muka, 4,800 PPE, 117,000 sarung tangan dan 16,000 kit kebersihan diri.

“Melalui sumbangan tunai yang diterima, kita membeli barangan keperluan lain seperti mesin jahit dan kotak intubasi.

“Kita juga mengedarkan makanan kepada lebih 12,000 orang, selain menyediakan lebih 200 perkhidmatan sokongan psikososial,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share