Penggunaan internet meningkat, kelajuan menurun

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Aliran trafik internet di Malaysia menyaksikan peningkatan ketara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, yang memberi kesan kepada kelajuan internet.

-Advertisement-

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, aliran trafik internet seluruh negara meningkat sebanyak 23.5 peratus pada minggu pertama PKP, serta 8.6 peratus pada minggu kedua.

Jelasnya, peningkatan penggunaan data itu menyebabkan kesesakan dalam aliran trafik internet, sekali gus menyebabkan penurunan kadar kelajuan muat turun.

“Menurut laporan ‘Mobile Experience during the COVID-19 pandemic: 4G Download Speed’ yang dikeluarkan Opensignal, kelajuan muat turun 4G Malaysia secara purata menurun daripada 13.4 Megabit sesaat (Mbps) pada awal Februari kepada 8.8Mbps minggu lalu (23 Mac hingga 29 Mac).

“Ini memberi kesan kepada pengalaman pengguna kerana tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk memuat turun sesuatu kandungan terutamanya perkhidmatan yang memerlukan lebar jalur tinggi seperti perkhidmatan penstriman video berdefinisi tinggi,” jelas SKMM dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, SKMM berkata, perkara itu turut dirasai di seluruh dunia berikutan peralihan perilaku pengguna yang rata-rata terpaksa berada di rumah susulan penularan wabak COVID-19.

-Advertisement-

Jelasnya, penyedia perkhidmatan internet dan telekomunikasi ketika ini berhadapan dengan situasi peningkatan penggunaan lebar jalur tinggi, yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Pihak pemberi perkhidmatan internet dan telekomunikasi sedang bertungkus-lumus menambah kapasiti lebar jalur bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Industri telekomunikasi sedang memperkukuh prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), baru-baru ini,” katanya.

Antara langkah diambil syarikat telekomunikasi ketika ini, jelasnya, adalah mengoptimumkan rangkaian dan meningkatkan kapasiti radio di kawasan penggunaan tinggi, selain penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian untuk memenuhi permintaan jalur lebar di premis kediaman.

Selain itu, menaik taraf sambungan ‘backhaul’ tanpa wayar kepada gentian optik, meningkatkan kapasiti rangkaian utama domestik dan antarabangsa serta menyediakan stesen pemancar mudah alih dan akses Wi-fi di kawasan kritikal.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share