Petugas barisan hadapan boleh solat tanpa wuduk atau tayamum

Estimate Reading Time: < 1 minute

KANGAR: Petugas barisan hadapan yang terpaksa memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) dibolehkan menunaikan solat tanpa berwuduk atau tayamum.

-Advertisement-

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata terdapat dalil membenarkan perbuatan itu selain ahli fiqh pernah membincangkannya dalam bab bersolat tanpa dua penyucian iaitu wuduk dan tayamum.

Katanya, di dalam hadis al-Bukhari dan Muslim terdapat situasi ketika sahabat Rasulullah SAW terpaksa bersolat tanpa mengambil wuduk mahupun tayamum.

“Ketika itu sahabat berhadapan keadaan tiada air, maka Allah menurunkan perintah untuk bertayamum jika tidak boleh berwuduk.

“Meskipun demikian, Rasulullah tidak meminta sahabat mengulangi solat, walaupun perintah bertayamum diturunkan sejurus keadaan itu berlaku,” katanya dalam kenyataannya di Facebook.

-Advertisement-

Sebelum ini, petugas barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat keliru mengenai masalah bersolat ketika memakai set PPE dalam jangka masa lama selain tidak boleh menggunakan air sepanjang mengendalikan pesakit COVID-19.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata perkara berkenaan lebih dekat dengan konsep agama Islam sebagai agama yang mudah terutamanya kepada petugas yang menjaga dan merawat pesakit COVID-19.

“Ia lebih mendekati konsep umum ayat al-Quran dan al-Sunnah pada surah al-Baqarah ayat 185 yang menyatakan Allah suka untuk meringankan beban dan agama itu mudah.

“Jika seharian bertugas (tanpa bersolat), kemudian perlu menggantikannya pada malam hari pastinya membebankan petugas,” katanya.

Mohd Asri berkata, petugas barisan hadapan juga boleh menjamakkan solat Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak, sekiranya terdapat bebanan atau kekangan untuk bersolat ketika bertugas.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share