Polis guna dron pantau PKP di Dungun

Estimate Reading Time: < 1 minute

DUNGUN: Polis Terengganu menggunakan dron untuk memantau tiga kampung di daerah ini yang mencatat peningkatan kes COVID-19.

-Advertisement-

Tiga kampung itu ialah Kampung Tok Kah membabitkan penduduk 1,200 penduduk, selain Teluk Lipat dan Sungai yang masing-masing mempunyai 890 dan 1,500 penduduk.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata pihaknya juga menambah kekuatan anggota dan pegawai kepada 156 orang untuk tugas kawalan dan pemantauan di tiga kampung berkenaan.

Katanya, Dungun dikategorikan sebagai Zon Oren apabila mencatatkan bilangan individu positif COVID-19 seramai 30 orang.

“Kita mengetatkan kawalan keluar masuk bagi memastikan penduduk mematuhi PKP bagi mencegah penularan wabak, selain mengelak tiga kampung berkenaan bertukar status kepada Zon Merah,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan khemah sumbangan kerajaan negeri untuk kegunaan anggota keselamatan di sekatan jalan raya (SJR) di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, hari ini.

Sebanyak 40 khemah lengkap dengan janakuasa serta kelengkapan lain seperti kerusi dan meja dengan nilai keseluruhan RM280,000 akan ditempatkan di semua SJR seluruh Terengganu.

Roslee berkata, selain Dungun, pihaknya turut memberi tumpuan kawalan PKP di Besut yang juga dikategorikan sebagai Zon Oren dengan kes positif Covid-19 seramai 30 orang.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 187 individu ditahan kerana ingkar PKP di seluruh negeri ini, dengan 130 sudah dituduh di mahkamah.

Mengenai anggota dijangkiti wabak, katanya sembilan daripada 40 anggota dan pegawai masih menjalani kuarantin di rumah masing-masing, manakala selebihnya bebas daripada sebarang jangkitan.

“Hanya seorang daripada keluarga anggota yang bertugas di Pulau Perhentian positif COVID-19 dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan,” katanya.

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares