Syarikat penerbangan diberi kelonggaran atasi isu tuntutan bayaran balik

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memberikan beberapa kelonggaran kepada syarikat penerbangan dalam menyelesaikan aduan serta pembayaran balik kepada pengguna berikutan cabaran yang dihadapi oleh mereka akibat pandemik Covid-19.

-Advertisement-

Di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) syarikat penerbangan dikehendaki menyelesaikan aduan dan memberikan bayaran balik kepada pengguna dalam tempoh 30 hari daripada penerimaan aduan.

“Memandangkan keadaan semasa, termasuk sebagai bantuan kepada industri, suruhanjaya menyediakan beberapa kelonggaran dari segi masa yang mereka perlukan untuk bertindak balas dan menyelesaikan permintaan bayaran balik,” kata Mavcom dalam satu kenyataan semalam.

Perjalanan penumpang merosot akibat pandemik dan menjejaskan pendapatan serta aliran tunai syarikat penerbangan.

“Sehingga kini, syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia merekodkan pembatalan sebanyak 13.6 juta tempat duduk atau 12.3% daripada operasi berjadual tahunan.

“Syarikat penerbangan Malaysia turut menerima permintaan bayaran balik yang sangat tinggi, dan mereka berhadapan dengan kesukaran untuk menguruskan tuntutan ini,” katanya.

-Advertisement-

Di bawah MACPC, pengguna dibenarkan menerima pampasan bagi gangguan perjalanan yang disebabkan oleh syarikat penerbangan.

Bagaimanapun, peraturan itu tidak terpakai yang mana gangguan penerbangan adalah disebabkan oleh keadaan luar biasa yang berada di luar kawalan syarikat penerbangan.

“Langkah-langkah pengawalan Covid-19 melibatkan kuarantin negara dan larangan perjalanan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia, dan ini dianggap sebagai keadaan luar biasa.

“Pada masa yang sama, untuk memastikan kepentingan pengguna tetap dilindungi, Mavcom menghendaki syarikat penerbangan menyelesaikan aduan serta permintaan pengembalian secepat mungkin dengan usaha terbaik dan kami akan memantau prestasi syarikat penerbangan berkenaan,” katanya.

Suruhanjaya itu menggesa pengguna untuk merujuk kepada senarai soalan yang sering ditanya pada https://www.mavcom.my/en/consumer/flysmart/ bagi mendapatkan maklumat mengenai permintaan bayaran balik.

“Kami juga menggalakkan pengguna untuk merujuk kepada laman web syarikat penerbangan masing-masing dengan tujuan menentukan syarat permintaan bayaran balik,” katanya.

-FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share