Indonesia pinda tarikh Aidilfitri kerana COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Kerajaan akan membawa cuti umum Aidilfitri ke Disember ini berikutan ancaman COVID-19 yang memuncak sekarang dan dikhuatiri mengakibatkan lebih ramai dijangkiti.

-Advertisement-

Puasa kali ini dijangka bermula 23 April hingga 23 Mei ini dan menjadi tradisi rakyat Indonesia yang bekerja di bandar besar untuk kembali ke kampung sempena cuti panjang pada penghujung Ramadan untuk meraikan Aidilfitri.

Kerajaan menjangkakan kira-kira 20 juta rakyat berbuat demikian, malah ada yang sudah kembali ke kampung halaman, mengingkari perintah larangan pihak berkuasa kesihatan.

Berikutan penularan wabak dan musim perayaan, Menteri Pembangunan dan Kebudayaan Manusia, Muhadjir Effendy, berkata cuti umum dipinda ke Disember iaitu dari 28 hingga 31 Disember berbanding cuti asal pada 26 hingga 29 Mei ini.

“Pindaan cuti ini adalah arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan tiada rayuan untuk mengembalikan pada tarikh asal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, Jokowi berkata kerajaan sedang mempertimbangkan tarikh cuti umum baharu sempena Aidilfitri berikutan pandemik COVID-19 yang memuncak sekarang.

-Advertisement-

Kerajaan juga mengumumkan cuti umum pada 28 Oktober ini sempena hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

“Peralihan cuti umum pada akhir tahun dipertimbangkan supaya penularan COVID-19 dapat ditangani dengan baik.

“Di samping itu, pada akhir tahun, kanak-kanak akan mula cuti dan keluarga akan mempunyai masa yang cukup untuk merancang percutian,” kata kenyataan itu.

Dua organisasi Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah, turut menasihatkan orang ramai tidak mengambil bahagian dalam ‘mudik’ atau tradisi balik kampung itu.

Bagaimanapun, kerajaan tidak melarang mudik disebabkan pertimbangan ekonomi, sebaliknya akan memberi bantuan sosial kepada keluarga berpendapatan rendah.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan 3,293 kes jangkitan coronavirus dengan 280 kematian selain 252 lagi sudah sembuh.

Jakarta, yang menjadi pusat penularan wabak, merekodkan 1,706 kes dengan 142 kematian dan 82 lagi sudah pulih. – AGENSI

Share this Article
  • 7
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    7
    Shares