Meninggal dunia bukan sebab coronavirus

Estimate Reading Time: < 1 minute

SITIAWAN: Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) mengesahkan lelaki warga Indonesia yang meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Selamat, Sitiawan, hari ini, negatif COVID-19.

-Advertisement-

Pengarah JKNP, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya mendapati lelaki berusia 42 tahun terbabit mengalami demam, hilang selera makan dan sukar bergerak sejak kelmarin.

Beliau berkata, seorang doktor swasta yang merawat lelaki terbabit di rumah mengesyaki lelaki warga asing itu mengalami masalah kesihatan radang otak (meningitis).

“Keadaan kesihatan lelaki itu semakin merosot dan dia dijumpai tidak bernafas pada jam 3 pagi dan pegawai (perubatan) di Hospital Seri Manjung mengesahkan dia meninggal dunia pada jam 6.33 pagi.

“Keputusan ujian saringan COVID-19 yang dijalankan di makmal Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada 9.47 malam mendapati lelaki itu negatif jangkitan virus berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

-Advertisement-

Terdahulu, tular di media sosial gambar yang memaparkan beberapa individu dipercayai petugas kesihatan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) di kawasan rumah mangsa yang disyaki dijangkiti wabak berkenaan sejak petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, dalam situasi ketika ini petugas kesihatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan mangsa mempunyai gejala demam sebelum ini.

“Bagaimanapun ujian saringan COVID-19 yang dijalankan mendapati lelaki itu negatif wabak berkenaan.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sesuatu berita yang tidak sahih kerana ia dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat setempat,” katanya. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share