PM sertai sidang khas ASEAN menerusi sidang video esok

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19 menerusi persidangan video, esok.

-Advertisement-

Sidang Kemuncak Khas itu akan disertai oleh Ketua Negara atau Ketua Kerajaan ASEAN dan dipengerusikan Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Sidang video itu juga dijangka disertai Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Sidang Kemuncak Khas itu akan membincangkan usaha dan persediaan bersama ASEAN dalam menangani penularan pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan kepada ribuan warga ASEAN.

Selain itu, persidangan juga dijangka mengeluarkan Deklarasi Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19.

-Advertisement-

“Perdana Menteri Malaysia dijangka mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga Mengenai COVID-19 yang disiarkan menerusi persidangan video.

“Persidangan itu turut dihadiri oleh Ketua Negara atau Ketua Kerajaan negara Anggota ASEAN dan Negara Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

“Turut serta dalam sidang video itu adalah Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus,” kata kenyataan itu.

Wakil negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga akan bertukar-tukar pandangan dan meneroka bidang kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19.

Sidang Kemuncak Khas itu juga akan mengeluarkan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai COVID-19. -BH

Share this Article
  • 5
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    5
    Shares