Selangor tangguh solat di masjid, surau hingga 31 Mei

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Sultan Selangor mengarahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

-Advertisement-

Setiausaha Sulit kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Mohamad Munir Bani berkata arahan baru akan dikeluarkan sekiranya wabak Covid-19 dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal.

“Melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan Covid-19 di seluruh Selangor, sultan menzahirkan kebimbangannya terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh,” katanya dalam kenyataan.

-Advertisement-

Sultan juga mengarahkan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan solat fardhu, serta solat sunat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.

Sultan Sharafuddin juga kecewa dengan penyebaran berita-berita palsu dan video-video palsu berkaitan wabak itu yang semakin menular.

Semua pihak diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka berita yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

“Sultan juga berharap agar rakyat tidak mudah mempercayai dan hendaklah menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial,” katanya. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share