Enam langkah utama pakej PRIHATIN telah dilaksana

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melaksanakan enam daripada 10 langkah utama keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Prihatin PKS bernilai RM260 bilion setakat 12 April lalu.

-Advertisement-

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata enam langkah utama itu membabitkan sebanyak RM180 bilion atau 69 peratus daripada nilai keseluruhan pakej PRIHATIN.

Katanya, ia membabitkan pelaksanaan moratorium bayaran pinjaman institusi perbankan berjumlah RM100 bilion dan kemudahan i-Lestari iaitu pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 bilion.

“Selain itu, subsidi upah yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM13.8 bilion dan pengurangan kadar minimum caruman pekerja KWSP (RM10 bilion).

“Bantuan PRIHATIN Nasional (RM10 bilion) dan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang disediakan Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM5 bilion,” katanya berucap melaporkan pelaksanaan pakej PRIHATIN di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, perancangan empat lagi langkah utama yang bernilai RM66 bilion atau 25 peratus daripada keseluruhan nilai Pakej PRIHATIN akan mula dilaksanakan menjelang 1 Mei ini, selaras dengan jadual pelaksanaan yang dirancang.

-Advertisement-

“Empat langkah terbabit adalah kemudahan skim jaminan pinjaman oleh Danajamin berjumlah RM50 bilion dan Program Khidmat Rundingan Majikan oleh KWSP bagi membantu memberi penjimatan aliran tunai majikan sebanyak RM10 bilion.

“Projek kerajaan berskala kecil untuk memanfaatkan kontraktor kecil (RM4 bilion) dan Geran PRIHATIN Khas untuk PKS mikro sebanyak RM2.1 bilion,” katanya.

Beliau berkata, sebaik saja pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan diumumkan, anggota pasukan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bergegas menjalankan tugasan pemantauan, koordinasi dan

komunikasi antara agensi-agensi nasional yang terbabit untuk memastikan pelaksanaan semua inisiatif dan bantuan berjalan dengan lancar.

Katanya, semua langkah PRIHATIN sedang giat disampaikan kepada kumpulan dan individu sasar.

“Mulai hari ini, saya dan rakan-rakan di Kementerian Kewangan akan

mengadakan taklimat setiap minggu, untuk berkongsi tahap pencapaian pelaksanaan pakej PRIHATIN ini,” katanya. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share