Malaysia Airlines sambung penerbangan ke Sabah, Sarawak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan menyambung semula operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak dengan kekerapan sekali seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri dan Kota Kinabalu, minggu ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Malaysia Airlines akan memastikan penerbangan itu dihubungkan oleh MASWings bagi laluan Miri-Bintulu, Kuhcing-Sibu-Kuching dan Sibu-Bintulu.

-Advertisement-

Bagaimanapun, katanya perkhidmatan kargo Malaysia Airlines, khususnya membawa makanan dan keperluan perubatan ke Sarawak tidak pernah dihentikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, Kementerian Pengangkutan sebelum ini, tidak pernah mengarahkan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, AirAsia atau Malindo untuk menghentikan operasi penerbangan ke Sarawak dan Sabah.

“Penerbangan kargo ke Sarawak dan Sabah terus beroperasi dengan kekerapan tiga kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuching, Kota Kinabalu dan Labuan.

-Advertisement-

“Dengan pengoperasian MASwings ini, pedalaman Sarawak dan Sabah juga akan terus berhubung. Jika ada permintaan dan penambahan penumpang, MAS bersedia untuk menambah frekuensi penerbangan mereka.

“Mereka akan menambah lebih banyak penerbangan ke Kuching, Miri atau Kota Kinabalu, mulai minggu depan, jika permintaan meningkat dan Sarawak akan terus dihubungkan dengan Semenanjung,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia Airlines sebelum ini dilapor memberhentikan penerbangan ke Sabah dan Sarawak kerana menghadapi kerugian yang akan memberi implikasi lebih buruk jika diteruskan.

Malaysia Airlines turut mencatatkan penurunan mendadak jumlah penumpang antara 10 hingga 15 peratus, susulan penularan COVID-19.

AirAsia Group Berhad dalam kenyataan sebelum ini, memaklumkan memberhentikan sementara operasi bagi penerbangan antarabangsa dan domestik, mulai 28 Mac lalu hingga 28 April ini. -BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares