Tiga rakyat Malaysia di Singapura, disahkan positif COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

SINGAPURA: Tiga rakyat Malaysia adalah antara 386 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan semalam, peningkatan harian tertinggi di republik ini setakat ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,918 kes.

-Advertisement-

Menurut statistik harian Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura yang dikeluarkan semalam, seorang daripada rakyat Malaysia itu adalah lelaki berumur 26 tahun yang berkaitan dengan kluster baharu sebuah asrama di Jalan Kubor yang ketika ini merekodkan tujuh kes.

Dua lagi rakyat Malaysia dinyatakan sebagai kes tempatan yang tiada kaitan.

Menurut MOH, kluster jamuan malam di SAFRA Jurong pada 15 Februari lalu ditutup memandangkan tiada lagi kes direkodkan bagi dua tempoh inkubasi lalu.

Selain kluster asrama, Singapura melaporkan tiga lagi kluster baharu termasuk dua asrama pekerja asing iaitu asrama Tech Park Crescent di Tech Park Crescent dan asrama Kranji di Kranji Way.

S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link adalah kluster terbesar di republik ini dengan jumlah keseluruhan 586 kes yang disahkan setakat ini.

-Advertisement-

Kematian kesembilan direkodkan pada Isnin berikutan jangkitan COVID-19 membabitkan lelaki warganegara Singapura berumur 65 tahun.

Pesakit itu disahkan dijangkiti COVID-19 pada 9 April dan dirawat di Hospital Khoo Teck Puat.

Menurut MOH, sebanyak 586 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan di discaj dari hospital atau fasiliti isolasi komuniti.

Daripada 1,158 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakan pesakit dalam keadaan stabil dan semakin pulih termasuk 29 yang berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

MOH berkata 1,165 kes yang sihat secara klinikal dan masih positif COVID-19 diasingkan dan berada di fasiliti komuniti.

Setakat tengah hari semalam, MOH mengenal pasti 28,333 kontak rapat yang kini sedang dikuarantin.

Republik ini merekodkan 568 kes yang diklasifikasi sebagai kes import, 827 kes komuniti dan 1,523 pemegang permit kerja dan penghuni asrama. – BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share