10 keluarga mangsa COVID-19 layak terima faedah PERKESO

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seramai 10 daripada 77 mangsa COVID-19 yang meninggal dunia di negara ini dikenal pasti layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selepas didapati memenuhi syarat Skim Keilatan.

-Advertisement-

PERKESO dalam kenyataannya berkata, semakan hingga kelmarin, mendapati 10 mangsa membabitkan kes kematian ketiga, tujuh, 13, 32, 33, 37, 46, 52, 56 dan 59 yang layak menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta Pencen Penakat untuk waris mangsa.

“Ini termasuk tiga mangsa di Johor dan Sarawak (3) serta masing-masing satu mangsa di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah yang kesemuanya berusia antara 37 hingga 59 tahun.

“Sembilan daripada mangsa ialah lelaki, manakala seorang wanita. Semakan yang dibuat juga mendapati tiga daripada mereka bujang,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut PERKESO, bantuan FPM berjumlah RM2,000 sudah diserahkan kepada ahli keluarga tujuh mangsa melalui Skuad PERKESO Prihatin.

Ahli keluarga tiga lagi mangsa belum menerima bantuan faedah terbabit susulan masih menjalani proses kuarantin.

-Advertisement-

“Pembayaran faedah ini akan dibuat kepada waris sejurus dokumen lengkap diterima sebaik saja tempoh kuarantin mereka tamat,” katanya.

PERKESO berkata, selain FPM, PERKESO juga akan membuat bayaran Pencen Penakat kepada waris mangsa COVID-19 yang diperakui sebagai orang tanggungan.

Katanya, memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, waris tidak perlu hadir ke pejabat PERKESO kerana semua urusan pembayaran akan dilaksanakan Skuad PERKESO Prihatin dan bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima.

“Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila Orang Berinsurans PERKESO meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

“Antara syarat di bawah Pencen Penakat adalah meninggal dunia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman,” katanya.

Sebagai langkah membantu mengurangkan bebanan keluarga mangsa COVID-19, PERKESO menggesa setiap waris mangsa memaklumkan segera status mereka setelah tamat tempoh kuarantin.

“PERKESO akan memastikan kebajikan semua pencarum terbela dengan membuat semakan kelayakan dan pemantauan berterusan ke atas perkembangan kes COVID-19 dari semasa ke semasa berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM). -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share