Peralatan cegah COVID-19, jadi sampah Sungai Klang

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Topeng muka, botol cecair pembasmi kuman dan sarung tangan pakai buang antara sampah paling banyak ditemui di Sungai Klang sejak Mac lalu.

-Advertisement-

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nor, berkata sebagai syarikat bertanggungjawab menjalankan kerja pembersihan Sungai Klang, pihaknya mengesan terdapat peningkatan sampah jenis baharu dalam sungai itu.

“Antaranya topeng muka, sarung tangan pakai buang dan botol kecil cecair pembasmi kuman, selain sampah biasa seperti bahan pembungkusan makanan pakai buang, kotak minuman dan botol plastik.

“Walaupun barang terbuang baharu itu dianggap perlu untuk keselamatan peribadi dan kebersihan seperti dinasihati Kementerian Kesihatan (KKM) susulan COVID-19, masyarakat perlu mengamalkan kaedah pelupusan betul.

“Barangan ini perlu dibuang ke dalam tong sampah dan tidak dibuang merata-rata hingga boleh tercampak ke dalam longkang yang akhirnya mengalir ke sungai, lalu menyumbang kepada pencemaran sungai,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Dalam perkembangan lain, Syaiful Azmen mengajak rakyat di negara ini untuk menguji bakat artistik masing-masing menerusi pertandingan komik SMG Water You Doing?

Katanya, peraduan itu membolehkan orang ramai menggunakan masa lapang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk berfikir mengenai masa depan sungai di negara ini.

“Peraduan SMG Water You Doing? diharapkan dapat mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan menjaga sungai di samping mementingkan keselamatan diri,” katanya.

LLSB ialah anak syarikat kerajaan Selangor bertanggungjawab bagi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) untuk kerja pembersihan Sungai Klang sepanjang 120 kilometer.

Ia bermula dari kawasan sungai di Ampang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan seterusnya Klang.

Sejak November tahun lalu, agensi itu mengutip antara 1,200 hingga ke 1,500 tan sampah sebulan di Sungai Klang. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share