Ahli ekonomi jangka rombakan taburan pekerja pasca-PKP

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Ahli ekonomi menjangkakan rombakan dalam taburan pekerja apabila perintah kawalan pergerakan tamat dan ekonomi dibuka semula, ketika negara menuju “normal baru” susulan pandemik Covid-19.

-Advertisement-

Virus itu sudah menyebabkan pergolakan dalam tenaga kerja dengan pekerja diminta bekerja di rumah dan penjarakkan sosial diperketatkan.

Walaupun belum diketahui berapa banyak perniagaan akan menyambung operasi apabila PKP tamat, Timbalan Pengarah Penyelidikan Christopher Choong di Institut Penyelidikan Khazanah berkata akan ada peluang dalam bidang logistik, barang runcit, kedai makanan, dan sistem eko digital serta penjagaan kesihatan.

Beliau berkata inisiatif kerajaan seperti Program Pengekalan Pekerjaan, Skim Insurans Pekerja, dan Program Subsidi Upah boleh digunakan untuk mengenalpasti industri yang memerlukan modal insan.

“Peruntukan semula tenaga kerja harus seiring dengan pengekalan tenaga kerja dan program perlindungan seperti ini,” katanya kepada FMT.

“Kita tahu siapa ‘pekerja lebihan’ menerusi program ini, jadi persoalannya adakah kita boleh membuatkan syarikat yang nampak peningkatan dalam permintaan ini supaya mengambil pekerja melalui platform ini.”

PKP, dilaksanakan sejak 18 Mac, menyaksikan pengangguran meningkat dengan tinjauan Jabatan Perangkaan baru-baru ini menunjukkan mereka yang bekerja sendiri paling terkesan.

Choong berkata apabila PKP tamat, manfaat boleh digunakan untuk memberi insentif untuk pengambilan pekerja sementara dan perkongsian tenaga kerja.

“Padanan kerja dan platform latihan boleh disatukan, dan penyenaraian kekosongan jawatan boleh ditingkatkan,” katanya, dan menambah beberap sektor kemahiran rendah dan sederhana hanya perlukan latihan minimum.

Goh Lim Thye, seorang pensyarah ekonomi kanan di Universiti Malaya berkata, penjaja makanan konvensional dan petani mungkin akan mengalihkan tumpuan kepada jualan dalam talian.

Beliau meramalkan gergasi e-dagang seperti Lazada dan Shopee akan meluaskan operasi, mencipta peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan pendigitalan.

-Advertisement-

Beliau mencadangkan kerajaan menubuhkan pusat maklumat berpuas dengan platform untuk menerima maklum balas daripada industri dan mengenalpasti di mana memerlukan pekerja.

Secara idealnya, kerajaan boleh menyediakan insentif untuk latihan tetapi hanya jika belanjawan mencukupi.

“Kalau tidak, kerajaan boleh memberikan insentif kepada perbadanan untuk menaja program latihan menerusi program tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi pula berkata mereka yang menganggur kerana PKP akan cenderung ke arah sektor yang menyediakan pekerjaan.

Beliau memberikan contoh pemandu e-panggilan yang beralih ke penghantaran makanan kerana kekurangan penumpang.

Mengatakan perubahan seperti itu sesuatu yang alami, proses itu bagaimanapun akan menjadi rumit jika kerajaan campurtangan.

“Saya fikir satu-satunya cara berkesan yang boleh kerajaan lakukan adalah menyediakan platform untuk menonjolkan peluang pekerjaan,” katanya.

“Selebihnya biar rakyat yang uruskan.”

Namun dengan program latihan sekalipun, komposisi modal insan harus dikenal pasti.

“Seorang pelayan tak boleh jadi mekanik kereta dalam waktu yang singkat. Jadi kemahiran individu penting.”

PKP, dilaksanakan bagi mengekang penyebaran Covid-19, sepatutnya tamat pada 31 Mac. Ia dilanjutkan ke 14 Apr dan kemudian 28 Apr. -FMT

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share