Maqis Kedah rampas lengkuas tanpa permit

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk lengkuas tanpa dokumen sah dari Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini Isnin lalu.

-Advertisement-

Pengarah Maqis Kedah, P Lily Rosalind berkata, pemeriksaan pada jam 9 malam ke atas sebuah lori berjaya menemui sebanyak 313.6 kilogram lengkuas yang bernilai kira-kira RM627.20.

Katanya, keluaran pertanian berkenaan didapati tidak mempunyai permit import daripada Jabatan Maqis dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

-Advertisement-

“Perbuatan mengimport hasil pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) di bawah Akta sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, jika sabit kesalahan pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Maqis sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar,” katanya. -Sinar Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share