PKP: Penutupan sementara Plaza Stesen LRT Masjid Jamek

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Semua pintu masuk atau keluar di stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek ditutup, berkuat kuasa hari ini hingga 28 April depan.

-Advertisement-

Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) menjelaskan penutupan laluan bersebelahan Bank OCBC dan Bank Muamalat itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diperluaskan di sekitar kawasan Masjid India.

Bagaimanapun katanya, pintu keluar atau masuk stesen berkenaan yang terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek masih dibuka, manakala perkhidmatan LRT beroperasi mengikut waktu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pengguna LRT laluan Kelana Jaya atau Ampang/ Sri Petaling hanya boleh membuat penukaran tren sahaja di stesen LRT Masjid Jamek.

-Advertisement-

“Pengguna yang ingin ke atau dari arah Sentul Timur, mereka dinasihatkan untuk menggunakan terowong sambungan di stesen berkenaan bagi membuat penukaran serta untuk keluar atau masuk melalui bahagian stesen (bersebelahan Masjid Jamek) yang tidak ditutup.

“Pegawai khidmat pelanggan dan polis bantuan juga akan ditempatkan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PRASARANA berkata langkah itu diambil bagi membantu pihak berkuasa mengurangkan pergerakan orang awam yang tidak sepatutnya ke sekitar kawasan terbabit.

Selain itu, orang awam diingatkan untuk sentiasa mematuhi PKP, menjaga jarak sosial dan merancang perjalanan mereka berikutan arahan penutupan sementara berkenaan.

“Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan Rel Rapid KL, layari akaun media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585,” katanya. -BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share