Farit Ismeth meninggal dunia

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM – Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) hari ini kehilangan pembaca berita terkenal agensi itu, Farit Ismeth Emir yang meninggal dunia pagi tadi.

RTM melalui status di laman Facebook memaklumkan Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah dalam kalangan warga kerja RTM menghembuskan nafas terakhir di Shah Alam.

-Advertisement-

Pemergian Allahyarham dimaklumkan anaknya, Farzwa De-Attaher Emir (DJ Fuzz).

Allahyarham terkenal sebagai pembaca berita pada era 1980-an menerusi berita Dunia Jam 10 (DJ10) di RTM ketika itu.

Sebelum bekerja sebagai penyampai berita, Farit pernah bekerja dalam industri perhotelan selama 13 tahun dan hotel pertama ialah Hotel Jaya Puri pada 1970-an.

-Advertisement-

Pengalamannya dalam industri perhotelan membolehkan Farit memegang jawatan seperti Penolong Pengurus di Hotel Regent, Kuala Lumpur dan kemudiannya menjadi Pengurus di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Pada 1987 dalam usianya 33 tahun, Farit mengambil keputusan meninggalkan industri perhotelan untuk menceburi bidang ‘suara komersil’.

Beliau mendapat dorongan daripada individu yang terkenal dalam bidang tersebut iaitu Ali Abdul Rahman dan Patrick Teo.

Selepas menjalani uji suara di stesen penyiaran RTM pada Ogos 1987 dan menghadiri kursus lanjutan, Farit akhirnya dipilih sebagai penyampai berita RTM.

Semasa di awal pembabitannya dalam bidang penyampaian berita, Farit yang terkenal dengan gaya suaranya yang ala Inggeris dan Arab itu turut menyampaikan berita RTM pada waktu tengah hari (Sabtu dan Ahad) selain menjadi penyampai berita DJ10.

-Sinar Harian

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share